Seiring dengan kempem #KitaSapotKita, dalam bulan Ramadan ini Maxis dan Astro membawakan Projek Bubur Lambuk Kampung Baru sebagai usaha untuk menghidupkan warisan turun temurun itu, menghargai petugas barisan hadapan dan membantu mereka yang memerlukan di bulan Ramadan.
Turut berkolaborasi bersama ialah FoodPanda, S&P Santan dan The Giving Bank, projek ini menyasarkan untuk mengagihkan 9,000 paket Bubur Lambuk. Ia dihantar kepada pekerja barisan hadapan dan rumah amal di seluruh lokasi di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, termasuk Hospital Kuala Lumpur, IPD Sentul dan Rumah Titian Kasih.
Menurut Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong, projek ini juga merupakan platform untuk memberi inspirasi positif di seluruh negara meskipun dalam menghadapi keadaan yang mencabar.
Tradisi bubur lambuk diteruskan
Sementara itu, pelaksanaan operasi dan agihan bubur lambuk Kampung Baru di bulan puasa tahun ini, dilaksanakan secara berbeza seiring norma baharu yang diterapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pemiliknya, Pak Zainal berkata, tahun ini tiada barisan panjang di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru. Pihaknya telah memindahkan operasi pembuatan dari kedai ke rumah dan melaksanakan agihan secara pandu lalu serta penghantaran.
Kenali warisan bubur lambuk di eKelas
Dalam pada itu, Maxis menerusi program komuniti perdana, eKelas turut melaksanakan aktiviti menarik termasuk pendedahan mengenai warisan Bubur Lambuk Kampung Baru dan juga nilai-nilai memberi, berkongsi dan perpaduan.
Lebih 17,000 pelajar yang menggunakan eKelas juga boleh menyertai aktiviti seperti kuiz Bahasa Inggeris dan pertandingan kreatif membuat resipi Bubur Lambuk sendiri. Program berkenaan juga memberi akses untuk pembelajaran digital buat pelajar luar bandar.
Pelajar juga diberikan akses ke kandungan digital di portal eKelas, didedahkan kepada pembelajaran berdasarkan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan dan pertandingan di Pusat Internet.
Terdahulu, Maxis sebelum ini telah melancarkan #KitaSapotKita yang turut berkolaborasi dengan artis tempatan untuk menghasilkan video muzik, Make It Through, sebuah lagu yang memberi inspirasi dan memberi peluang kepada orang ramai untuk secara aktif menyokong sesama masyarakat.