Sony Xperia XA2 Ultra hadir sambil menggendong badan besar yang dilengkapi paparan luas, serta dwikamera swafoto yang ditujukan khas buat penunggu-penunggu media sosial. Jika bajet anda agak terhad untuk mencapai flagship seperti telefon siri Galaxy Note, Galaxy S, dan Mate 10, telefon ini mungkin cocok untuk anda.
Sungguhpun masih memperagakan rupa paras yang agak ketinggalan berbanding pesaingnya, saya yakin bahawa masih ada pengguna yang akan menghargai fizikaliti telefon ini lebih -lebih lagi pada rekaan bingkai minimum kiri dan kanan telefon.
Telefon ini adalah telefon pertama dijual di Malaysia yang dikuasakan cip Snapdragon 630, versi kemas kini kepada Snapdragon 625 yang menjadi ruji telefon kelas pertengahan sejak sekian lama.
Adakah ia lebih baik atauapun lebih teruk prestasinya berbanding yang lain? Teruskan membaca reviu ini.
Rekaan Dengan Peminat Niche-nya Yang Tersendiri
Mungkin ada sebilangan besar yang tidak menggemari rekaan OmniBalance daripada Sony. Sejak Xperia Z yang mereka perkenalkan dalam tahun 2013, tidak banyak perubahan yang berlaku.
Benar, rekaannya nampak lapuk berbanding rekaan lebih moden yang diterapkan pada telefon pengeluar lain. Estetik adalah subjektif, dan saya tiada masalah dengan fizikalitinya kerana terdapat beberapa kelebihan yang ia ada.
Contohnya, dimensi XA2 Ultra agak gempal jika dibandingkan dengan telefon bersaiz setara. Kegempalan itu menyumbang kepada tahap ergonomik yang tinggi. Apabila berada di dalam tangan, saya tidak berasa seriau untuk mengendalikannya tanpa casing kerana memegangnya terasa erat.
Daripada sisi kanan ke sisi kiri, anda boleh melihat bingkai yang amat minimum. Sebaliknya pada dahi dan dagu, bingkainya agak luas. Sayangnya ia tiada speaker stereo seperti Xperia XZ.
Bingkai yang luas tak semestinya tak berguna. Gamers terutamanya yang bermain game secara melintang tidak akan menghadapi situasi jari lenguh kerana dengan mudah boleh mencapai pinggir paparan tanpa membengkokkan jari terlalu dalam.
Materi plastik digunakan sebagai panel belakang telefon ini. Tapi kerangka utamanya masih ditempa daripada besi dan tona warna yang serupa digunakan pada kedua-duanya. Kecualilah anda menyentuhnya, memang sukar mempercayai panel belakang adalah plastik.
Bahagian depan pula dilapisi kaca Corning Gorilla sepenuhnya.
Pengimbas cap jari kini hadir di bahagian belakang telefon dan lebih mudah dicapai berbanding pengimbas yang berada di sisi telefon. Ia adalah berita baik buat si kidal.
Audiofilia pasti bersorak melihat kehadiran port audio 3.5mm. Ia boleh diakses pada bahagian atas telefon. Bahagian bawah pula menempatkan port USB-C bersama jeriji speaker.
Slot mikro-SD dan kad SIM terletak di bahagian kiri telefon. Ia tidak memerlukan pin khas untuk menolak keluar bekas daripada slotnya. Melihat pada sebelah kiri, anda akan menemui sebaris butang daripada atas ialah kawalan suara, kuasa, dan kamera.
[nextpage title=”Lajunya Berdesup, Tapi Tenaganya Jimat”]
Xperia XA2 Ultra dan Xperia XA2 yang dilancarkan Sony memiliki spesifikasi yang hampir selari. Contohnya, mereka menggunakan platform Qualcomm Snapdragon 630 yang baru saja dilancarkan dalam tahun 2017. Ia adalah pemproses kelas pertengahan yang dibangunkan untuk menggantikan tempat Snapdragon 625 yang sudahpun berusia 2 tahun.
Salah satu penambahbaikan 630 berbanding 625 adalah penggunaan GPU Adreno 508. GPU ini boleh ditemui pada platform kelas atasan seperti Snapdragon 820 yang pernah menguasakan telefon seperti OnePlus 3/3T, Samsung Galaxy S7/S7 edge, Sony Xperia XZ.
Daripada sudut prestasi pengkomputeran, anda boleh menjangkakan ia berada antara Snapdragon 435 dan Snapdragon 835.
Jika anda ingin mengetahui hasil tanda aras sintetik, sila rujuk gambar di bawah.
Antutu v7
Geekbench
Set yang kami terima ini memiliki RAM 4GB dan storan 64GB.
Sepanjang penggunaan, tiada cela yang ketara saya temui. APP dijalankan secara lancar. Ber-gaming amat lancar walaupun pada tetapan maksimum.
Telefon ini menjalankan sistem operasi Android 8.0 Oreo yang bersadur antara muka Xperia Home. Bloatware yang amat minimum boleh ditemui padanya dan kebanyakannya bukanlah APP yang lewah.
Bateri berkapasiti 3,580mAh amatlah dialu-alukan pada telefon ini. Dengannya saya beroleh masa penggunaan yang agak panjang. Prestasi yang terbaik saya dengan telefon ini adalah beroleh SOT sehingga 5 jam dengan penggunaan normal seperti Spotify, Facebook, dan navigasi.
Untuk sebuah telefon dengan kapasiti bateri sedemikian, inilah yang sepatutnya dicapai.
Menariknya, ia menyokong sistem pengecasan pantas Qualcomm QuickCharge 3.0. Menggunakan pengecas QC 3.0 saya dapati yang:
- Mengecas 50% daripada 1% mengambil masa 37 minit
- Mengecas 100% mengambil masa 2 jam 43 minit
- Megecas 30 minit daripada 1% mengisi 39% bateri
[nextpage title=”Kamera & Kesimpulan”]
Kamera OK Tapi Ada Sedikit Kurang
Kamera pada Sony Xperia adalah antara kamera telefon yang terbaik dalam pasaran dan personaliti itu terus diwarisi pada Xperia XA2 Ultra.
Untuk kamera belakang, anda dihidangkan dengan sensor 23MP, F2.0 dengan autofokus hibrid. Kamera depan pula adalah dwikamera 16MP dan 8MP dengan kamera yang lebih kecil memiliki lensa sudut pandang luas seperti kamera aksi.
Atas kertas, spesifikasinya nampak mantap dan ia memang diterjemahkan kepada pengalaman mengguna yang baik. Kehadiran butang khas kamera agak membantu kelancaran mengambil gambar. Kamera depan bersudut pandang luas juga adalah sesuai yang memudahkan.
Daripada segi kualiti gambar, saya tiada komen tentangnya. Jika adanya cahaya yang mencukupi bersama tangan yang pegun, gambar yang diambil memang cantik dan tajam.
Walau bagaimanapun, pada sudut APP kamera, ia masih belum boleh menandingi APP kamera pada Huawei yang saya rasakan adalah contoh UI terbaik dalam memberikan pengalaman mengguna yang cemerlang.
Misalnya, tiada fungsi HDR hadir dan ia agak menyukarkan gambar diambil dalam keadaan luar norma seperti kehadiran backlight yang menutupi subjek. Semuanya bergantung pada mode Superior Auto untuk menentukan tetapan kamera.
Selain itu, mode Manual agak terhad kawalannya. Berbanding Xiaomi yang membenarkan kelajuan pengatup (shutter) diperlahankan sehingga 1/15 saat, Sony adalah lebih baik dengan 1 saat. Tapi, satu saat tidak cukup untuk mendapatkan hasil seperti light trail.
Sebaliknya, telefon seperti Huawei menyediakan mode khas untuk melakukan sedemikian tapi Sony tidak pula menyediakan mode-mode khas untuk menangkap gambar.
Memang telefon ini mampu merakan video 4K HDR. Tapi, saya tak rasa akan selalu menggunakannya asbab sensor kecil yang pastinya tidak membuahkan hasil yang berkualiti jika dibandingkan dengan kamera sebenar.
Mari kita lihat beberapa keping gambar daripada lensa Xperia XA2 Ultra.
Kesimpulan
Pada rupa luaran, sungguhpun nampak lama tetapi sudah tentu ada golongan yang menghargai kesetiaan Sony pada pendiriannya.
Walaupun pada helaian spesifikasi, komponen pengimejannya nampak gempak, pengalaman menggunakannya agak hambar. Ia bukan kerana kesilapan pada perkakasan, tapi lebih kepada APP yang mengendalikan kamera. Daripada sudut prestasi, ia mempamerkan hasil yang memberangsangkan dan lebih baik berbanding telefon yang menggunakan Snapdragon 625.
Hayat penggunaan turut dipuji. Bukan saja pada bateri berkapasiti besar, malahan kehadiran mode Stamina menyumbang kepada penjimatan tenaga.
Cumanya, harga telefon ini agak tinggi jika dibandingkan beberapa flagship yang terkemuka. Harga RRP untuk telefon ini adalah RM1,999 tetapi saya dapati yang masih ada pengedar yang menjualnya pada harga RM1,799, iaitu harga promosi terhad sewaktu ia dilancarkan. Namun ia masih satu amaun yang agak tinggi. Misalnya anda boleh mendapatkan:
- OnePlus 5T (RM2,299)
- Honor View 10 (RM2,099)
- Huawei P10 Plus (RM2,199)
Pada pendapat saya, terdapat dua sebab mengapa pengguna akan meminati telefon ini. Yang pertama adalah skrinnya yang besar sesuai untuk bermain games serta kehadiran dwikamera swafoto yang seronok untuk digunakan. Bagaimana pula dengan anda, sesuai tak telefon ini?