[Reviu] Sony Xperia XA2 Ultra, Jangan Terpedaya Dengan Rupa Luaran

Intro

Sony Xperia XA2 Ultra hadir sambil menggendong badan besar yang dilengkapi paparan luas, serta dwikamera swafoto yang ditujukan khas buat penunggu-penunggu media sosial. Jika bajet anda agak terhad untuk mencapai flagship seperti telefon siri Galaxy Note, Galaxy S, dan Mate 10, telefon ini mungkin cocok untuk anda.

Sungguhpun masih memperagakan rupa paras yang agak ketinggalan berbanding pesaingnya, saya yakin bahawa masih ada pengguna yang akan menghargai fizikaliti telefon ini lebih -lebih lagi pada rekaan bingkai minimum kiri dan kanan telefon.

Telefon ini adalah telefon pertama dijual di Malaysia yang dikuasakan cip Snapdragon 630, versi kemas kini kepada Snapdragon 625 yang menjadi ruji telefon kelas pertengahan sejak sekian lama.

Adakah ia lebih baik atauapun lebih teruk prestasinya berbanding yang lain? Teruskan membaca reviu ini.

Rekaan Dengan Peminat Niche-nya Yang Tersendiri

Mungkin ada sebilangan besar yang tidak menggemari rekaan OmniBalance daripada Sony. Sejak Xperia Z yang mereka perkenalkan dalam tahun 2013, tidak banyak perubahan yang berlaku.

Benar, rekaannya nampak lapuk berbanding rekaan lebih moden yang diterapkan pada telefon pengeluar lain. Estetik adalah subjektif, dan saya tiada masalah dengan fizikalitinya kerana terdapat beberapa kelebihan yang ia ada.

Contohnya, dimensi XA2 Ultra agak gempal jika dibandingkan dengan telefon bersaiz setara. Kegempalan itu menyumbang kepada tahap ergonomik yang tinggi. Apabila berada di dalam tangan, saya tidak berasa seriau untuk mengendalikannya tanpa casing kerana memegangnya terasa erat.

Daripada sisi kanan ke sisi kiri, anda boleh melihat bingkai yang amat minimum. Sebaliknya pada dahi dan dagu, bingkainya agak luas. Sayangnya ia tiada speaker stereo seperti Xperia XZ.

BACA  [REVIU] ZenFone Max Pro M2 Replikasi Kejayaan Formula M1

Bingkai yang luas tak semestinya tak berguna. Gamers terutamanya yang bermain game secara melintang tidak akan menghadapi situasi jari lenguh kerana dengan mudah boleh mencapai pinggir paparan tanpa membengkokkan jari terlalu dalam.

Materi plastik digunakan sebagai panel belakang telefon ini. Tapi kerangka utamanya masih ditempa daripada besi dan tona warna yang serupa digunakan pada kedua-duanya. Kecualilah anda menyentuhnya, memang sukar mempercayai panel belakang adalah plastik.

Bahagian depan pula dilapisi kaca Corning Gorilla sepenuhnya.

Pengimbas cap jari kini hadir di bahagian belakang telefon dan lebih mudah dicapai berbanding pengimbas yang berada di sisi telefon. Ia adalah berita baik buat si kidal.

Audiofilia pasti bersorak melihat kehadiran port audio 3.5mm. Ia boleh diakses pada bahagian atas telefon. Bahagian bawah pula menempatkan port USB-C bersama jeriji speaker.

Slot mikro-SD dan kad SIM terletak di bahagian kiri telefon. Ia tidak memerlukan pin khas untuk menolak keluar bekas daripada slotnya. Melihat pada sebelah kiri, anda akan menemui sebaris butang daripada atas ialah kawalan suara, kuasa, dan kamera.