Setelah pelbagai khabar angin bertiup menjelang pelancarannya, hari ini Xiaomi secara rasminya memperkenalkan Mi Band 5. Berbanding generasi sebelumnya, harga pengenalan Mi Band 5 sedikit tinggi berbanding Mi Band 4 sewaktu diperkenalkan.
Mi Band 5 diumumkan di China pada harga bermula RMB189 berbanding RMB169 untuk Mi band 4. Menariknya, versi NFC untuk kedua-dua generasi masih kekalkan harga RMB229. Di Malaysia, versi NFC tidak dijual dalam pasaran kita tapi Mi Band 4 biasa dilancarkan pada harga RM149.
Sudah tentu anda tertanya apa bezanya dengan generasi terdahulu. Yang pertama, anda beroleh paparan 20% lebih besar untuk paparkan lebih banyak maklumat dalam paparan pada satu-satu masa.
Perubahan paling dialu-alukan pada edisi kali ini adalah pada cara mengecas Mi Band 5. Daripada Mi Band 1 hinggalah ke Mi Band 4, anda perlu keluarkan badan daripada tali jam untuk mengecas. Namun, kali ini pengecasan jenis magnet digunakan.
NFC juga adalah ciri yang sangat menarik. Memang di China, pengguna di sana sudah lama menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai melalui NFC. Tapi pada Mi Band 5, Xiaomi dikatakan bawa fungsi pembayaran tanpa sentuh keluar China. Ada beberapa pasaran di Eropah akan nikmati fungsi baharu ini selain negara Russia.
Layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.