Pendedahan rasmi tentang PlayStation 5 (PS5) oleh Sony telah menjawab beberapa teka teki peminat, yang menantikan kemunculan konsol permainan itu. Kini penantian beralih kepada tanda harga yang bakal ditawarkan dalam pasaran.
Di sebalik penantian itu, ada sesuatu yang menarik tentang PS5. Hal ini dikongsikan oleh pengguna Twitter, Shinobi602. Dia memaklumkan ada perincian pada rekaan produk Sony itu yang mungkin ramai pihak terlepas pandang.
Zoom in enough and the grip textures on the back of the DualSense are actually ⭕?️⏹✖.
— Shinobi602 (@shinobi602) June 13, 2020
Such a fun little detail. #PS5 pic.twitter.com/KVsSHESBg4
Perkara yang dimaksudkan adalah perincian pada permukaan bawah alat kawalan DualSense konsol permainan itu. Jelas Shinobi, jika di zum dengan lebih dekat, permukaannya mempunyai tekstur yang terhasil daripada simbol ikonik PS. Simbol tersebut adalah bentuk petak, bulat, segitiga dan pangkah (X). Perincian sama turut ditemui pada permukaan penutup putih konsol dan beberapa bahagian di aksesori PS.
Berdasarkan komen di status berkenaan, ramai warganet yang kagum dengan perincian tersebut. Rata-rata mereka memuji Sony kerana mengambil kira elemen rekaan luaran secara terprinci untuk PS5. Malah, penggunaan simbol tersebut juga disifatkan sebagai unik dan tersendiri.
Simbol petak, bulat, segitiga dan pangkah sangat signifikan sepanjang kewujudan PS dalam arena pemainan video konsol. Menurut Jurutera Sony, Teiyu Goto dalam satu temubual, setiap simbol membawa maksud tersendiri.
Jelas beliau, simbol itu merupakan salah satu elemen yang membezakan PS dengan permainan konsol lain. Kebanyakannya menggunakan warna atau huruf dari ABC. Ia ditempatkan pada butang untuk membantu pengguna supaya lebih mudah mengingati kawalan permainan.
Simbol segitiga berwarna hijau merupakan butang untuk kawalan pemandangan. Petak yang berwarna merah jambu mewakili sekeping kertas. Kebiasaanya apabila ditekan ia akan membawa pemain ke menu permainan. Simbol butang bulat berwarna merah dan pangkah (biru) digunakan untuk membuat keputusan seperti bulat (ya) serta pangkah (tidak).
Perincian yang dibawakan Sony untuk PS5 memberi nilai estetika tersendiri. Selain naik taraf kuasa pemproses atau keupayaan memaparkan video setinggi 8K ataupun 4K pada 120Hz, perincian ini boleh menguatkan lagi sebab kenapa orang ramai perlu memiliki konsol permainan itu.