Apple meneruskan kemaskini terbaru untuk sistem operasi komputer mereka, kali ini ia diberi nama macOS Big Sur. Seperti sebelumnya, nama ini diambil dari sebuah tempat di California. Menurut Apple, Big Sur merupakan kemaskini terbesar mereka lakukan sejak Mac OS X diperkenalkan.
Dengan setiap kemaskini semua sistem operasi keluaran Apple, ia kelihatan semakin mirip dan memiliki fungsi yang hampir sama. Boleh dirumuskan, perubahan besar di Big Sur adalah kedatangan fungsi yang serupa dengan iOS 14.
Bermula dengan Control Center, ia boleh dipaparkan dari ruangan menu di atas dan menyediakan capaian pantas kepada tetapan penting seperti kawalan kecerahan, kawalan bunyi, WiFi dan bermacam lagi, sama seperti di iOS.
Di bahagian sisi skrin, kini boleh menempatkan widget yang boleh memberikan pelbagai maklumat yang diingini pengguna seperti cuaca, kalendar, gambar dan sebagainya. Widget juga adalah satu pembaharuan yang diperkenalkan di dalam iOS 14.
Begitu juga dengan Message. Ia kini diperkaya dengan lebih banyak pilihan untuk mengekspresi pesanan yang mahu disampaikan. Pengguna boleh memilih mesej untuk dipin di bahagian atas, carian lebih mudah, serta boleh menggunakan pelekat memoji.
Seperti di iOS 14, Maps di dalam Big Sur diberikan naik taraf yang serupa, menjadikannya berfungsi sehebat Google Maps. Maps kini boleh memberi cadangan kepada pengguna untuk mencari tempat baru atau aktiviti apa mahu dilakukan. Lebih banyak perkara interaktif kini terdapat di dalam Maps.
Pelayar Safari kini ditambah fungsi Extension, membolehkan pemasangan pelbagai add-on untuk menjadikan pelayaran lebih menarik dan mudah digunakan. Tetapi berbeza dengan pelayar lain, Extension di Safari boleh dihadkan penggunaan kepada satu tab, satu hari atau kesemuanya. Ini selaras dengan janji Apple untuk memastikan tahap keselamatan peribadi tertinggi untuk pengguna sepanjang masa.
Apple kini mewajibkan pembangun untuk menyiarkan semua jenis data yang digunakan aplikasi sebelum pengguna memuat turun di Mac App Store. Ia untuk memastikan pengguna memahami apakah maklumat yang dipergunakan aplikasi, memberi lebih kawalan kepada pengguna dan memastikan pembangun telus dan tidak menyorokkan aktiviti aplikasi mereka.
Para pembangun aplikasi boleh meneruskan pembangunan lebih banyak aplikasi yang hebat dengan mudah menggunakan versi terkin Xcode 12. SwiftUI pula menjadikan aplikasi yang dibangunkan serasi untuk digunakan merentasi semua platform Apple.
Pembangun juga boleh menggubah aplikasi yang dibangunkan untuk iPad ke macOS dengan senang menggunakan Mac Catalyst. Ini menambah lagi persamaan yang cuba diterapkan Apple ke semua platformnya. Kesalinghubungan kesemua platform ini akan lengkap apabila komputer Mac mula berubah dari menggunakan cip Intel kepada cip Apple Silicone yang telah digunakan di iPhone dan iPad.
Menurut Apple, aplikasi iPhone dan iPad boleh digunakan secara terus di Mac melalui cip Apple Silicone. Jurang perbezaan antara iPhone, iPad dan Mac semakin menipis dengan perkongsian silang platform ini. Adakah selepas ini produk Apple akan dibezakan oleh saiz skrin sahaja?