Xiaomi Malaysia hari ini berkongsi satu petunjuk tentang ketibaan dua lagi model telefon pintar mereka, menerusi laman media sosial. Dalam gambar tersebut, telefon pintar Redmi 9A dan Redmi 9C dengan bateri dan paparan besar akan diumumkan di Malaysia pada 30 Jun 2020.
Telefon pintar Redmi 9 baru sahaja mula dijual di Malaysia pada bulan ini, dengan harga bermula dari RM499 yang memiliki cip Mediatek Helio G80, RAM 3GB dan storan 32GB. Bagi Redmi 9A dan Redmi 9C, dijangka ia adalah versi yang lebih rendah dari Redmi 9, jadi harganya juga boleh dilihat lebih rendah dari Redmi 9.
Buat masa ini, Redmi 9A dan Redmi 9C masih belum dilancarkan di mana-mana pasaran antarabangsa. Tetapi sudah ada beberapa cerita telah tersebar mengenai spesifikasi kedua-dua telefon.
Di Filipina, satu brosur yang menyenaraikan produk Xiaomi yang akan dijual di sana pada bulan Julai dan Ogos, memiliki Redmi 9A di dalamnya. Ia menjelaskan, Redmi 9A akan dikuasakan cip Mediatek Helio G25 8-teras berkelajuan 2.0GHz.
Skrinnya HD+ bertakuk, berukuran 6.53-inci dengan kamera hadapan 5MP dan satu sahaja kamera belakang, 13MP. Bateri pula 5,000mAh dan tidak kelihatan pengimbas capjari di belakang. Dari spesifikasi ini, boleh dilihat ia sebagai telefon paling murah dari Xiaomi dilancarkan tahun ini.
Bagi Redmi 9C pula, masih belum ada khabar angin yang kuat bercerita tentangnya kecuali satu, dari twitter @Sudhanshu1414 pada 31 Mei lepas. Menurutnya, Xiaomi akan melancarkan tiga model dalam keluarga Redmi 9 iaitu Redmi 9A, Redmi 9C dan Redmi 9.
Maklumat tentang Redmi 9 darinya agak tersasar, seperti Helio G70 (yang tepat Helio G80) dan kamera hadapan 5MP (yang tepat 8MP). Tetapi maklumat lain adalah benar seperti skrin 6.53-inci HD Penuh, serta empat kamera belakang 13MP+8MP+5MP+2MP.
Bagi Redmi 9A, maklumat yang disalurkan Sudhanshu adalah serupa dengan maklumat di dalam brosur Xiaomi Filipina. Untuk Redmi 9C pula, beliau menyatakan ia akan menggunakan cip Helio G25 yang sama dengan Redmi 9A, skrin yang sama iaitu HD 6.53-inci, bateri juga sama 5,000mAh tetapi perbezaan pada kamera belakang iaitu dwi-kamera 13MP+2MP. Pilihan storan juga lebih besar, 64GB.
Memandangkan Redmi 9 dijual pada harga RM499 dengan RAM 3GB dan storan 32GB, berapa rendah pula Redmi 9A dan Redmi 9C akan dijual di Malaysia? Mungkinkah RM399 dan RM449? Kita tunggu pengumuman esok.
Sumber: Xiaomi