Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini nengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dilanjutkan sehingga hujung tahun ini, 31 Disember 2020. Fasa pertama PKPP telah dijalankan sejak 10 Jun, sehingga 31 Ogos 2020.
Perkara ini selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang meminta kerajaan meneruskan PKPP. Ia berikutan penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda dalam negara, serta lonjakan kes positif di kuar negara.
Dengan perintah ini dilanjutkan, bermakna semua rakyat Malaysia tidak mengira pangkat dan usia, perlu terus mematuhi arahan kerajaan menurut Akta 342. Antaranya kuarantin 14 hari selepas pulang dari luar negara, tidak menyertai aktiviti yang masih dilarang seperti di kelab malam, serta memakai pelitup muka sepanjang masa di tempat awam.
Perdana Menteri berjanji, tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang ingkar, termasuk tidak menurut arahan kuarantin. Denda yang lebih tinggi, melebihi RM1,000 akan dikenakan. Tetapi pindaan Akta 342 perlu dibuat terlebih dahulu.
Jika terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di sesuatu kawasan, pendekatan bersasar akan diambil seperti menutup kawasan tersebut dari keluar masuk. Perkara ini telah dilaksanakan beberapa minggu lepas di tempat seperti Sanglang dan Tawar.
Di samping itu, kerajaan sedang berbincang dengan kilang pengeluaran topeng muka, untuk menurunkan harganya. Buat masa ini, kerajaan telah menetapkan harga siling untuk penutup muka 3-lapis kepada RM 1 sekeping.
Perniagaan dibenarkan untuk terus beroperasi seperti sebelum ini, dengan beberapa larangan seperti kelab malam dan pusat hiburan. Aktiviti sukan juga boleh disambung semula, tetapi tanpa melibatkan peserta antarabangsa dan penonton.
Tabung COVID-19 yang diuruskan NADMQ, juga akan diteruskan selaras dengan lanjutan PKPP. Pihak yang berminat untuk menyumbang, boleh berbuat demikian sehingga 31 Disember 2020.
Penularan COVID-19 boleh dihentikan dengan kerjasama semua pihak. Selain menuruti arahan yang ditetapkan kerajaan, selalulah mencuci tangan dan memakai pelitup muka di tempat awam.
Kita mampu mengubahnya.