Menggunakan aplikasi pintar MySejahtera merupakan salah satu usaha masyarakat dalam mengawal penularan pendemik Covid-19. Pengguna perlu mengimbas kod QR sebelum masuk ke dalam premis perniagaan berdaftar.
Aplikasi pintar MySejahtera yang dilancarkan pada 20 April 2020 telah berjaya mencapai sebanyak 23,953,970 pengguna dan 1,058,853 premis perniagaan berdaftar. Sehingga 18 November 2020, MySejahtera telah merekodkan 1.7 bilion kumulatif daftar masuk ke premis-premis berdaftar melalui imbasan kod QR, dengan purata 15 juta daftar masuk sehari.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu sidang media kes COVID-19, penggunaan aplikasi MySejahtera menunjukkan keberkesanan apabila berjaya merekodkan sejumlah 9,167 kes positif Covid-19 sehingga 18 November 2020. 7,606 kes telah dikesan positif melalui kaedah pengesanan kontak menggunakan MySejahtera.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, pada 18 November sahaja, sejumlah 38,796 individu berdaftar dengan aplikasi MySejahtera. Manakala yang diaktifkam penggunaannya pada hari tersebut adalah berjumlah 18,920 individu.
Data yang terkumpul merupakan punca kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Perubatan 1971. Maklumat peribadi pengguna pula dilindungi oleh Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Data Check-In yang dikumpul oleh aplikasi ini akan diarkibkan selepas 30 hari dan akan dihapuskan selepas 90 hari.
Aplikasi ini dimiliki oleh Kerajaan Malaysia dan diuruskan oleh KKM dibantu oleh MKN dan MAMPU. Kerajaan memberi jaminan bahawa maklumat peribadi pengguna akan digunakan bagi tujuan pemantauan dan pencegahan wabak COVID-19 sahaja.
Aplikasi ini telah berjaya mendapat penarafan 4.7 bintang di dalam aplikasi Apple Store dan Google Playstore. Anda perlu memastikan bahawa anda dan keluarga sentiasa mengimbas kod QR sebelum memasuki mana-mana premis. Ini adalah sebagai langkah keselamatan agar anda selamat dari wabak Covid-19.
[Sumber: KKM, Sinar, Mkini, MySejahtera]