Perlu mengambil makanan sejauh 20km dan menghantarnya dengan jarak yang sama. Itulah pengalaman yang dilalui oleh seorang penghantar makanan Foodpanda dengan tawaran bayaran minimum SGD 5 (RM15.24).
Kejadian ini berlaku di Singapura melibatkan seorang penghantar makanan bernama Dylan Chen. Dia menunggang basikal untuk menghantar makanan dan biasanya ditempatkan di sebelah barat Singapura.
Menurut Foodpanda Singapura, radius penghantaran yang ditetapkan ialah 15 minit masa penghantaran dari lokasi restoran iaitu lebih kurang 2km hingga 3km.
Berbasikal 20km untuk bayaran SGD 5
Tetapi tidak bagi Chen. Dia diminta untuk melakukan perjalanan dari Bukit Panjang ke Hougang untuk mengambil pesanan pelanggan, dan kemudian kembali ke Bukit Panjang sekali lagi untuk menyampaikannya. Jumlah perjalanan ialah 40km.
Dia perlu mengambil pesanan pada 12:23 tengah hari dan pesanan perlu sampai kepada pelanggan pada 12:32 tengah hari.
Chen menjelaskan bahawa mereka akan diberi penilaian yang rendah jika banyak pesanan yang tidak disampaikan kepada penerima.
Jika dia menolak pesanan tersebut, maka bayaran untuk perjalanan penghantaran berikutnya akan menjadi lebih rendah.
Berikutan tugas yang tidak logik itu, dia menghubungi khidmat pelanggan Foodpanda. Kakitangan perkhidmatan pelanggan menyatakan bahawa Chen harus melaksanakan pesanan tersebut kerana dia sudah menerima tugas itu pada awalnya.
Meskipun dia memberitahu bahawa dia membawa basikal namun khidmat pelanggan menyuruhnya untuk teruskan tugas tersebut kerana itu merupakan sop mereka. Namun kerana ralat lokasi tersebut, dia membuat keputusan untuk membatalkan penghantaran.
Foodpanda mohon maaf
Menurut sumber, jurucakap Foodpanda memohon maaf tentang kejadian yang perlu dilalui oleh Chen ini. Beliau juga mengatakan bahawa mereka telah melihat masalah tersebut dan akan memperbaiki kesalahan lokasi seperti yang dialami oleh penghantar makanan tersebut.
Jika di Malaysia, penghantar Foodpanda dan pengguna aplikasi itu boleh membuat aduan secara panggilan telefon. Oleh itu, aduan dapat disampaikan dengan jelas.
Namun di Singapura, nombor hotline untuk membuat aduan tidak disediakan. Ini menyukarkan pengguna dan penghantar Foodpanda untuk mendapat perkhidmatan yang baik.
Berikutan wabak Covid-19 melanda dunia, ramai individu menggunakan perkhidmatan penghantar makanan untuk membeli makanan. Ada individu yang tidak mahu keluar dari rumah kerana bimbang dijangkiti Covid-19.
Oleh itu, pengusaha perkhidmatan penghantaran makanan perlu menitik beratkan aduan pengguna, selain memastikan aplikasi yang dihasilkan berada dalam keadaan baik.
[Sumber: Asiaone]