Jalur lebar kini boleh dianggap sebagai salah satu utiliti seperti elektrik dan air. Ia menjadi lebih ketara dalam situasi COVID-19 masa ini apabila kebanyakkan interaksi sekarang berlaku secara maya. Walau bagaimanapun, dalam tahun 2020 ini, masih ada populasi yang tidak memiliki kemudahan ini terutamanya yang berada di kawasan pedalaman.
Kita dah saksikan bagaimana Veveonah Mosibin terpaksa berusaha lebih sedikit daripada kita yang berada di Lembang Klang semata-mata untuk menyertai peperiksaan dalam talian yang diadakan universitinya. Lebih menyedihkan ada yang mengalami kecerderaan dalam proses mendapatkan liputan Internet.
Apalah gunanya 5G bila masih ada populasi yang masih tak dapat merasai 4G malahan 3G
Anda tentu sedia maklum tentang banyaknya cara untuk kita berhubung dengan Internet. Kita ada jalur lebar fiber optik dan kita juga ada jalur lebar LTE.
Satu syarikat Malaysia. ConnectMe, berikan alternatif ketiga kepada opsyen yang ada untuk kita bersambung dengan Internet, guna satelit. Bagusnya solusi ini adalah ia boleh dipasang di mana-mana sahaja, asalkan ada akses terus terhadap langit.
ConnectMe kini sedang menjalankan satu inisiatif yang dinamakan ConnectMe Now. Ia adalah servis Internet pertama di Malaysia yang gunakan teknologi satelit. Mereka mengguna pakai satelit MEASAT sebagai perantara antara pengguna dengan dunia Internet.
Menerusi inisiatif ini, pengguna tidak perlu keluarkan wang pendahuluan yang banyak untuk memasangnya dan disebabkan ia adalah servis prabayar, mereka cuma perlu bayar apa yang mereka guna.
Menurut ConnectMe, servis Internet mereka boleh dipasang di kawasan sasaran dalam masa beberapa hari dan inisiatif kini ditumpukan pada kawasan yang tiada liputan 3G dan 4G dengan populasi sekurang-kurangnya 100 orang. Pihak mereka kini sedang mempergiat menyediakan liputan Internet di kampung Orang Asli Sabah/Sarawak.
Pengguna tak perlu risau sekiranya lokasi tempat kelengkapan ConnectMe ingin dipasang, tiada kemudahan tenaga elektrik kerana ia boleh beroperasi menggunakan tenaga solar. Hotspot ConnectMe dikatakan boleh meliputi kawasan beradius 100 meter dan jika perlu, liputan boleh diperluas menggunakan peralatan tertentu.
Anda boleh jana pendapatan dengan ConnectMe Now
ConnectMe Now juga menyediakan peluang untuk menjana pendapatan untuk sesiapa yang ingin sertainya. Misalnya, sekiranya anda menawarkan tapak ataupun bekalan tenaga elektrik untuk memasang kelengkapan satelit, pemilik tanah boleh menerima insentif tertentu. Pendapatan tambahan juga boleh diperoleh daripada penjualan baucar prabayar. Mereka cuma perlu menjaga peralatan ConnectMe.
Ada 2 baucar prabayar boleh dibeli iaitu:
- RM10 – 1GB, sah selama 30 hari
- RM40 – 5GB, sah selama 60 hari
Memang nampak sedikit mahal berbanding apa yang kita nikmati di bandar-bandar besar. Namun begitu, mempertimbangkan tempoh yang perlu ditunggu untuk penyedia perkhidmatan menarik kabel fiber optik masuk ke kampung masing-masing, ia adalah satu penyelesaian sementara yang berbaloi.
Sebagai perbandingan, plan biasa ConnectMe boleh didapati pada harga RM198/bulan dengan kuota 60GB dan bayaran pendahuluan untuk pemasangan setinggi RM1,200.
ConnectMe ada wakil pengedar di seluruh negara. Setakat ini, mereka telah memasang di lebih 900 tapak di seluruh negara. Sekiranya anda berminat untuk menyertai program ConnectMe Now, anda boleh menghubungi wakil ConnectMe.
ConnectMe bakal tawar sambungan berkelajuan sehingga 100Mbps seawal 2021
Setakat ini, sambungan Internet yang ConnectMe tawarkan kepada pelanggan mereka adalah sehingga 30Mbps dengan kelajuan muat naik sehingga 5Mbps. Namun, dalam tahun 2021 nanti, mereka dijangka boleh mempertingkat kelajuan itu sehingga 100Mbps apabila mereka menghantar satelit MEASAT-3d naik ke langit tak lama lagi.
MEASAT-3d dibangunkan berasaskan model Eurostar E3000 keluaran Airbus. Ia adalah satelit dengan keupayaan High-Throughput (HTS) dengan kapasiti jalur lebar seluas 30Gbps. Menggunakan gelombang radio dalam julat Ka-Band, ia mampu memberikan kelajuan sambungan 100Mbps seperti yang dikatakan tadi.
Sudah tentu pengalaman Internet menggunakan satelit tidak mampu menandingi kabel fiber optik.
Beza paling ketara adalah latensi antara data dengan anda kerana gelombang radio perlu naik ke langit dan turun semula ke destinasi dan ia mengambil sekitar setengah saat berbanding kelajuan serendah milisaat yang dinikmati bila anda gunakan fiber optik. Namun, ia adalah cukup untuk kegunaan asas seperti mendapatkan maklumat terkini tentang apa yang berlaku di luar sana.
Baru-baru ini, SKMM telah mengumumkan satu syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan Sabah, Common Tower Technologies Sdn. Bhd. (CTT) akan menggunakan teknologi ConnectMe ini di Kampung Gusi, Sabah sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman rasmi ConnectMe.