Bimbang menganggu pengguna jalan raya, skuter elektrik atau e-skuter tidak boleh lagi digunakan di atas jalan raya. Sebaliknya ia hanya dibenarkan ditaman permainan, kawasan pejalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah di ibu negara.
Larangan ini akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun hadapan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai tindakan penunggang skuter elektrik yang menunggang di atas jalan raya di ibu negara.
Jelasnya lagi, aktiviti penunggang skuter ini boleh mendatangkan bahaya atau mengakibatkan kemalangan dijalan raya. Antara kesalahan yang dilakukan oleh mereka ialah:
- Menunggang e-skuter secara berdua
- Tidak menggunakan laluan ataupun siar kaki yang disediakan
- Menunggang secara berbahaya di tengah jalan secara berkumpulan.
Menurut sumber, tiga kawasan aktif penggunaan e-skuter di ibu negara ialah:
- Sekitar Dataran Merdeka
- KLCC
- Bukit Bintang.
Hukuman ingkar arahan
Individu yang ingkar dengan kesalahan pertama akan dikenakan hukuman denda sebanyak RM300. Bagi kesalahan kedua, pesalah boleh didenda sebanyak RM1,000 atau berdepan penjara tiga bulan. Hukuman ini adalah di bawah Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Buat masa ini, pihak polis sedang memantau individu yang bermain e-skuter di atas jalan raya. Mereka hanya akan menasihatkan individu tersebut sementara menunggu 1 Januari untuk mengambil tindakan.
Sekiranya anda mahu menggunakan e-skuter di atas jalan raya, anda perlu memohon lesen kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
E-skuter mula mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini. Ada pihak yang menyewakan skuter ini bermula RM2.50 untuk memudahkan pergerakan individu ke destinasi yang agak jauh di sekitar Kuala Lumpur.
Kelajuan e-skuter dihadkan pada 20 kilometer sejam. Ia boleh menempuh jarak 45km hingga 50km atau sekitar empat hingga lima perjalanan sebelum memerlukan pengisian semula elektrik. Namun ia lebih bahaya kepada nyawa penunggang, apabila penggunaan helmet tidak diwajibkan ke atas kenderaan ini.