Berita baik buat pengguna kerap Lebuhraya LEKAS. Touch ‘n Go RFID kini boleh mula digunakan di setiap plaza tol di sana bermula 15 Disember 2020. Ada 5 plaza tol dalam sistem Lebuhraya Lekas iaitu:
- Kajang Selatan
- Semenyih
- Pajam
- Mantin
- Setul
Perkara ini adalah satu perkembangan yang positif, tetapi lebih ramai yang menantikan sokongan RFID pada Lebuhraya PLUS yang sentiasa ditangguhkan. Ia tentu sekali bukanlah sebab teknikaliti kerana sudah ada 21 sistem lebuhraya menggunakannya. Sebaliknya ada kaitan dengan perundangan apabila PLUS pun katanya ada solusi RFID mereka yang tersendiri.
Selain LEKAS, RFID juga kini sedang dinikmati di 21 sistem lebuhraya di semenanjung Malaysia. Anda boleh gunakan RFID di:
- Lebuhraya KL-Karak
- Lebuhraya Damansara – Puchong
- Lebuhraya Kemuning Shah Alam
- Lebuhraya Cheras – Kajang
- Lebuhraya Grand Sepadu
- Lebuhraya Shah Alam
- Lebuhraya SILK
- Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya
- Lebuhraya Duta – Ulu Kelang
- Terowong SMAR
- Lebuhraya Pantai Baharu
- Lebuhraya BESRAYA
- Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat
- Lebuhraya KL- Kuala Selangor
- Lebuhraya Beringkat Ampang – KL
- Lebuhraya Guthrie
- Lebuhraya Linkedua
- Jambatan Sultan Abdul Halim
- Lebuhraya Butterworth – Kulim
- Lingkaran Luar Butterworth
- Lebuhraya PLUS (Jitra sahaja)
RFID adalah pelekat yang ditampal di bahagian depan kenderaan, sama ada di lampu ataupun cermin. Pelekat ini mengandungi cip RFID yang akan memberi respons kepada gelombang radio daripada pemancar khas apabila anda tiba di plaza tol yang menyokongnya.
Dengan membaca maklumat pada pelekat RFID, sistem Touch ‘n Go akan tolak kredit eWallet anda berdasarkan kadar tol yang dikenakan pihak konsesi.
Sekiranya anda berminat untuk memasang RFID pada kereta, ia kit DIY-nya boleh didapati di Lazada dan Shopee pada harga RM35 seunit.