Facebook baru sahaja mengumumkan beberapa ciri baharu yang diubahsuai pada Facebook Page. Perubahan tersebut sudah diuji sebelum ini melibatkan Facebook Page golongan terkenal seperti artis, penulis dan seterusnya halaman perniagaan berbahasa Inggeris.
Terdapat banyak penambahbaikan yang dilakukan dan ada juga ciri yang dihapuskan. Semua pembaharuan ini akan menemui pengguna pada bulan akan datang. Kemaskini yang dilakukan ini akan memudahkan individu membezakan dan mengakses antara dua profil, iaitu akaun profil peribadi dan Facebook Page.
Tiada lagi butang like
Perubahan ketara yang akan dilihat pada Facebook Page ialah tiada lagi butang like (suka). Butang tersebut dihapuskan kerana jumlah like adakalanya memberi gambaran yang tidak tepat mengenai populariti sesebuah halaman. Pengguna Facebook menekan butang like, namun tidak semestinya dia mengikuti (follow) sesebuah Facebook Page itu.
Butang like juga dibuang kerana ingin memfokuskan kepada ciri follow sahaja. Ini memudahkan pengguna Facebook berhubung dengan Facebook Page kegemaran mereka. Dengan ciri follow pengguna boleh tahu sekiranya Facebook Page yang diikuti ada melakukan kemaskini. Namun, jika like sahaja, individu tidak akan dapat sebarang notifikasi kemaskini Facebook Page tersebut.
Dengan perubahan baharu ini, Facebook Page akan menujukkan dengan jelas tahap populariti sesebuah akaun itu. Justeru, hanya ada paparan jumlah pengikut dan jumlah yang diikut sahaja di sesebuah Facebook Page.
Facebook Page akan ada ruang berita (news feed) sendiri
Sebelum ini, pengguna tidak dapat mengakses ruang berita menggunakan profil Facebook Page. Malah, pengguna perlu kembali kepada profil utama untuk mengakses ruang berita. Adakalanya ia menjadi satu perkara yang privasi untuk memberi komen di ruang berita menggunakan akaun peribadi.
Oleh itu, pembaharuan baharu membolehkan pengguna mengakses ruangan berita menggunakan profil Facebook Page sendiri. Malah, pengguna juga boleh membalas komen menggunakan profil Facebook Page.
Menariknya, Facebook Page yang disahkan akan muncul lebih tinggi pada ruangan komen. Individu lain yang melihat komen tersebut secara tidak langsung boleh terus mengikuti Facebook Page tersebut.
Format soal jawab yang baharu
Buat masa ini, ciri ini hanya boleh digunakan jika Facebook Page dibuka melalui komputer. Pemilik akaun boleh membuka ruangan soalan secara umum kepada pengikut mengenai topik yang dimahukan. Jawapan juga boleh dilihat oleh semua.
[Sumber: Facebook]