Samsung membuka tahun baru 2021 dengan melancarkan barisan baru siri Galaxy S21. Telefon pintar flagship ini hadir dalam 3 model seperti sebelumnya iaitu Galaxy S21, Galaxy S21+ dan Galaxy S21 Ultra.
Ketiga-tiga model ini dikuasakan cip paling berkuasa masakini, Exynos 2100 yang baru dilancarkan awal minggu ini, serta Snapdragon 888. Kedua-duanya dengan 5G terbina di dalam. Pemilihan cip ini bergantung kepada pasaran, di mana Malaysia sering menerima cip Exynos.
Di antara tiga model ini, Galaxy S21 dan Galaxy S21+ boleh dianggap kembar kerana serba-serbi sama dalam hampir semua aspek. Kecuali pada saiznya. Galaxy S21 Ultra pula berada dalam kategori yang jauh berbeza.
Prestasi di Galaxy S21 dan S21+, selain penggunaan cip berkuasa tinggi, ia dibantu oleh RAM LPDDR5 sebanayk 8GB dan storan dalaman sehingga 256GB. Seperti Galaxy S20, model ini tidak menerima kad mikroSD untuk storan tambahan.
Skrin dan paparan
Paparan yang sama digunakan di Galaxy S21 dan S21+, iaitu skrin rata dari jenis Dynamic AMOLED 2X, dengan resolusi HD Penuh. Skrin ini memiliki kadar penyegaran sehingga 120Hz, dan boleh menurunkan kadar sehingga 48Hz secara automatik, untuk menjimatkan bateri.
Untuk saiznya, skrin di Galaxy S21 seluas 6.2-inci, memberikan kepadatan piksel sebanyak 421ppi. Ini pilihan yang menarik untuk mereka yang gemarkan peranti berkuasa tinggi yang kompak dan kecil. Bagi Galaxy S21+ pula, skrinnya berukuran 6.7-inci, untuk yang mahukan skrin lebih lebar.
Pengimbas capjari dipasang di dalam skrin menggunakan teknologi ultrasonik, untuk pengecaman lebih jitu tanpa cahaya.
Bateri dan pengecas tanpa kepala
Perbezaan saiz skrin turut mempengaruhi saiz bateri. Bagi Galaxy S21, kapasiti baterinya ialah 4,000mAh dan di Galaxy S21+ pula, sebanyak 4,800mAh. Samsung tidak menyatakan nilai kuasa pengecasan pantas yang disokong, tetapi telefon ini menyokong pengecasan pantas USB PD 3.0 (PPS). Ia juga menyokong pengecasan wayarles Fast Wireless Charging 2.0 dengan kuasa sehingga 10W.
Tetapi perlu diambil perhatian. Samsung tidak lagi memberikan kepala pengecas di dalam kotak Galaxy S21 dan Galaxy S21 Ultra. Langkah ini sama seperti apa yang dilakukan Apple di iPhone 12. Bezanya, Samsung dilihat menurunkan harga Galaxy S21 agak drastik, berbanding Galaxy S20 semasa dilancarkan tahun lepas.
Kamera Spacezoom 30x
Mengambil gambar dan video merupakan salah satu kekuatan siri Galaxy S. Untuk Galaxy S21 dan S21+, ia dilengkapi tiga lensa di belakang dan satu lensa hadapan. Lensa hadapannya terletak di dalam lubang di atas skrin, masih belum menggunakan teknologi kamera di belakang paparan yang boleh menyembunyikan lensa. Kamera hadapan ini memiliki sensor 10MP F2.2, dengan autofokus dwi-piksel yang pantas dan tajam.
Kamera belakang pula menggabungkan kamera utama 12MP F1.8 dengan autofokus dwi-piksel dan penstabil imej optikal (OIS), kamera ultra lebar 12MP F2.2 fokus tetap bersudut lebar 120-darjah, dan kamera telefoto 64MP F2.0 dengan autofokus pengesanan fasa dan OIS.
Menurut Samsung, kamera ini boleh mengezum sehingga 30X Space Zoom. Tetapi lensa telefoto ini bukanlah zum optikal, ia adalah zum hibrid optik. Menggunakan resolusi tinggi dan memotong gambar menjadi resolusi tinggi seperti dizum. Zum 30x pula dicapai dengan gabungan zum digital.
Fungsi baru yang diperkenal Samsung pada kamera kali ini adalah Director View. Ia membolehkan video dirakam menggunakan keempat-empat kamera serentak. Iya, satu kamera hadapan dan tiga kamera belakang. Fungsi popular Single Take masih dikekalkan.
Spesifikasi lain
Telefon terbaru Samsung ini dilengkapi dengan sistem operasi terbaru, One UI 3.0 berasaskan Android 11. Untuk rangkaian 5G, ia menyokong teknologi SA dan NSA, serta Ultra Wideband Sub6Ghz yang sangat pantas.
Sistem bunyi stereo pada Galaxy S21 dan S21+ ditala oleh AKG. Jek audio sudah tiada. Pengiktirafan kalis air dan debu juga kekal IP68, membolehkan ia masuk ke dalam air sehingga 1.5 meter dalam selama 30 minit.
Warna Violet tema terbaru
Samsung menyediakan empat warna yang segar bertenaga untuk Galaxy S21 iaitu Phantom Gray, Phantom White, Phantom Violet dan Phantom Pink. Violet kelihatan sebagai warna tema untuk Galaxy S21 kali ini.
Tetapi untuk Galaxy S21+, hanya terdapat dalam tiga warna iaitu Phantom Gray, Phantom White dan Phantom Violet. Tiada Phantom Pink.
Tarikh dan harga jualan
Samsung Galaxy S21 dan S21+ akan mula berada di pasaran pada 29 Januari 2021. Harganya dilihat lebih murah USD200, berbanding pelancaran Galaxy S20 iaitu:
- Galaxy S21 (RAM 8GB + Storan 128/256GB) – dari USD 799 (~RM3,230)
- Galaxy S21+ (RAM 8GB + Storan 128/256GB) – dari USD 999 (~RM4,038)
Harga lebih murah tanpa kepala pengecas dan fon telinga berwayar di dalam kotak. Ini adalah tawaran yang baik, tetapi harga kepala pengecas dan fon telinga juga harus lebih murah dari USD200.
Untuk jualan di Malaysia, pasti ada hadiah menarik disediakan untuk tempahan awal. Nantikan pengumuman dari Samsung Malaysia tidak lama lagi.