LG sedang pertimbang untuk meninggalkan pasaran telefon pintar berikutan kerugian selama lima tahun terakhir perniagaannya. Bahkan, mereka juga menanggung komitmen sebanyak USD5 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif LG, Kwon Bong-seok ada menyerahkan memo dalaman kepada kakitangannya dan mengumumkan tentang perubahan arah untuk perniagaan telefon LG. Keputusan ini diambil berikutan persaingan di pasaran global untuk peranti mudah alih semakin sengit.
Dalam memo itu juga, Kwon mengatakan bahawa sekitar 60 peratus kaki tangan bahagian mudah alih berpotensi ditugaskan ke bahagian lain dalam perniagaan LG. Namun tidak jelas sama ada baki 40 peratus pekerja akan tetap berada di bahagian mudah alih atau diberhentikan.
LG lancar telefon pelik tetapi tidak berjaya
Kwon menjawat jawatan tertinggi di LG pada awal tahun 2020, dia berjanji kepada syarikatnya bahawa telefon pintar keluaran LG akan ada keuntungan pada tahun 2021.
Namun, pada tahun lalu, LG telah melancarkan telefon pintar dengan rekaan pelik iaitu Velvet dan Wing namun tidak berjaya dalam keuntungan. Lantaran itu, Kwon mengambil keputusan untuk menutup penghasilan telefon pintar.
Seorang wakil LG mengatakan bahawa syarikat itu komited untuk melakukan apa yang terbaik demi kepentingan syarikat mereka dan perniagaan telefon pintarnya. Jika keputusan ini benar dilakukan, maka selepas ini tiada lagi produk telefon pitar LG yang akan menjadi pilihan dipasaran.
[Sumber: Engadget]