BigPay hari ini mengumumkan bahawa mereka akan mula menyokong pembayaran DuitNow QR menjelang suku kedua tahun ini. Dengan sokongan ini, pengguna BigPay boleh menggunakan DuitNow untuk membuat pemindahan wang secara domestik dengan segera dan membuat pembayaran kepada peniaga yang menyediakan fungsi DuitNow QR.
DuitNow QR adalah kod QR standard nasional yang mahu menyatukan semua jenis pembayaran digital di Malaysia, untuk pembayaran bagi perniagaan tempatan. Buat masa ini, setiap penyedia perkhidmatan pembayaran termasuk perbankan dan dompet digital, memiliki kod QR tersendiri. Ini menyusahkan bukan sahaja pengguna, tetapi peniaga kerana terpaksa memaparkan banyak kod QR untuk digunakan.
Salim Dhanani, Pengasas Bersama BigPay berkata, “Bigpay komited untuk menawarkan perkhidmatan perbankan secara telus, selamat dan mudah kepada lebih 1.3juta penggunanya di Malaysia dan Singapura, dengan rancangan pengembangan di negara-negara Asean. Kami teruja untuk melaksanakan pembayaran DuitNow QR sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk memperkenalkan produk dan inovasi baharu pada masa akan datang dan memudahkan bayaran di pelbagai perniagaan di seluruh Malaysia. BigPay menyasarkan untuk menjadi pesaing sektor perbankan di rantau ini dan akan memperkenalkan lebih banyak ciri-ciri baharu pada tahun 2021 termasuk tambah nilai secara tunai di kedai serbaneka tempatan, insurans, pinjaman digital dan pengurusan kewangan.”
Aireen Omar, Presiden AirAsia Digital berkata, “Kami berbesar hati untuk melancarkan produk DuitNow QR bersama PayNet menerusi BigPay tidak lama lagi. Sistem pembayaran nasional ini bukan sahaja membolehkan pengguna BigPay membuat pembayaran tanpa tunai, tetapi juga menggalakkan para peniaga untuk menerima pembayaran tanpa tunai seperti laman e-dagang AirAsia Food, airasia shop dan AirAsia Fresh yang merupakan cabang digital ekonomi Malaysia. BigPay juga akan menawarkan lebih banyak perkhidmatan kewangan kepada para pengguna dan peniaga melalui AirAsia Digital seperti pelancaran DuitNow QR.”
Baru-baru ini, BigPay telah melancarkan ciri Pembayaran Bil sebagai sebahagian daripada misinya untuk menjadi aplikasi pilihan perkhidmatan kewangan. Selain itu, BigPay juga telah menerima Lesen Kredit Komuniti yang bakal membolehkannya menawarkan pinjaman kepada PKS, usahawan dan individu pada harga yang berpatutan tidak lama lagi.
[Sumber: AirAsia]