Huawei memang boleh merasa megah kali ini selepas melancarkan telefon pintar flagship terbaru mereka, Huawei P20 dan Huawei P20 Pro. Sekali lagi kerjasama generasi ketiga dengan Leica benar-benar membuahkan hasil yang amat menakjubkan.
Telefon pintar, sejauh mana lagi teknologi boleh berkembang? Memang masih sangat jauh. Huawei P20 melompat lebih tinggi berbanding model sebelumnya, untuk membuka ruang kreativiti lebih luas kepada pengguna biasa.
Ada 2 model Huawei P20 yang diperkenalkan hari ini, masing-masing diberi perbezaan yang ketara buat pilihan pengguna. Sudah pasti lebih mahal harganya, lebih canggih fungsinya.
Bermula dengan versi vanila Huawei P20. Ia adalah telefon pintar yang amat mirip dengan iPhone X. Dari hadapan, kelihatan skrin LCD nirbingkai 5.8-inci FHD+ (2244×1080) dengan takuk di dahi yang memuatkan speaker panggilan dan kamera hadapan 24MP. Perbezaannya adalah pengimbas capjari yang terletak di bawah skrin.
Di badan belakang pula, tersusun kemas dwi-lensa Leica Summilux-H secara menegak. Fizikal depan belakang yang saling tidak tumpah dengan telefon terbaik Apple masakini.
Dari segi kuasa, Huawei P20 dilengkapi pemproses Kirin 970 berkuasa AI, 4GB RAM dan 128GB storan dalaman. Tiada sokongan kad mikroSD, tiada lagi port audio 3.5mm dan tidak menyokong pengecasan wayarles. Malah ia juga tidak kalis air apabila memiliki rating IP53 sahaja.
Bateri 3,400mAh di dalamnya, boleh dicas pantas menggunakan kuasa pengecasan Huawei SuperCharge 22W.
Tetapi bukan ini yang Huawei mahu tonjolkan. Mereka mahu dunia tahu bahawasanya kamera di telefon pintar keluaran mereka adalah yang terbaik di pasaran sekarang. Dan ia diiktiraf oleh DxOMark sendiri, yang memberikan 102 markah keseluruhan kepada Huawei P20, mengatasi Galaxy S9+ (99 markah), Pixel 2 (98 markah) dan iPhone X (97 markah).
Apa yang telah Huawei lakukan?
Beberapa teknologi canggih telah disuntik ke dalam Huawei P20. Bermula dengan dwi-lensa Leica Summilux-H yang kini menggunakan sensor RGB 12MP F1.8 + sensor monokrom 20MP F1.6, dengan apertur yang lebih besar dari sebelumnya. Saiz sensor piksel sebesar 1.55-mikron juga banyak membantu.
Di kamera hadapan pula, ia dilengkapi sensor 24MP F2.0 dan disertakan beberapa fungsi baru untuk menjadikan swafoto lebih menarik. Antaranya adalah 3D Portrait Lighting, memberikan efek cahaya ibarat mengambil gambar di dalam studio.
Untuk rakaman video, Huawei P20 mampu merakam gerak perlahan (Slow-Mo) 240fps pada kualiti HD 720p secara berterusan, atau Super Slow-Mo 960fps 720p untuk sedetik. Ini sama seperti yang telah sedia ada di Sony Xperia XZ Premium dan Samsung Galaxy S9.
Tetapi Huawei membawakan ia selangkah ke depan dengan teknologi AIS (AI Image Stabilisation atau penstabil imej AI). Ia boleh merakam gambar (seperti night mode) atau video tanpa gegaran hanya dengan menggunakan tangan, tidak perlu lagi tripod.
Cukup canggih kan Huawei P20 ni. Tetapi ini semua cerita atas kertas, tunggu cuba sendiri nanti baru terasa WOW yang sebenar. Tambah sikit lagi, Huawei P20 ni menjalankan sistem operasi Android 8.1 Oreo dilapisi antaramuka EMUI 8.1 buatan Huawei sendiri.
Kini kita pergi ke peranti kedua yang dilancarkan, yang diberi nama Huawei P20 Pro dengan kuasa tiga kamera. Pertama seumpamanya di dunia kata Huawei.
Huawei P20 Pro ini memang jauh berbeza dari Huawei P20 tadi. Tapi dari luarnya tak nampak sangat. Rekabentuk depan belakang masih sama, kelihatan seperti iPhone X. Skrin nirbingkainya lebih besar sedikit, menggunakan paparan OLED 6.1-inci tetapi masih resolusi FHD+ (2240×1080). Serta bertakuk di dahi.
Walaupun di belakang nampak macam serupa dengan iPhone X, ia sedikit berbeza apabila Huawei meletakkan tiga lensa Leica Vario Summilux-H di belakang Huawei P20 Pro. Masih susunan menegak, tapi dikumpulkan 2+1.
Kita cerita tentang benda lain dulu. Seperti Huawei P20, P20 Pro juga dikuasakan cip Kirin 970 berkuasa AI, tetapi RAM 6GB dimuatkan di dalam bersama storan 128GB. Bateri juga lebih besar dengan kapasiti 4,000mAh.
Tiada sokongan kad mikroSD, tiada port audio 3.5mm dan tidak menyokong pengecasan wayarles. Tetapi Huawei P20 Pro kalis air dan debu bertahap IP67. Boleh masuk air ambil gambar.
Dengan kuasa tiga kamera ini, Huawei P20 Pro boleh dikatakan jaguh sebenar kamera telefon pintar. Ia diiktiraf oleh DxOMark yang memberikan 109 markah, lebih tinggi dari Huawei P20 sendiri yang hanya 102 markah.
Mula-mula kita kenali persamaannya dengan Huawei P20. Kamera hadapan 24MP F2.0 serta fungsi 3D Portrait Lighting, Super Slow-Mo 960fps, dan penstabil AIS turut terdapat di Huawei P20 Pro.
Tiga kamera belakang Leica adalah kuasa yang membezakan Huawei P20 Pro dari yang lain. Sensor yang digunakan adalah RGB 40MP F1.8, monokrom 20MP F1.8 dan telefoto 8MP F2.4. Nampak tak bezanya?
Tiga lensa Leica Vario Summilux-H ini memberi beberapa maksud. Antaranya ia boleh membuat zum optikal dengan apertur pelbagai, F1.6, F1.8 atau F2.4. Malah, Huawei turut berbangga dengan keupayaan 5x zum hybrid padanya yang tidak menjejaskan kualiti gambar.
Tetapi bukan ini sahaja rahsianya. Huawei P20 Pro memiliki saiz sensor piksel paling besar dalam telefon pintar, iaitu 2.0-mikron. Ia juga menyokong sehingga ISO 102400, yang terdapat hanya di kamera DSLR sahaja.
Dengan spesifikasi sebegini, memang tidak menghairankan Huawei P20 Pro memperoleh markah yang sangat tinggi di DxOMark. Sebuah kamera mudah alih di telefon pintar yang muktamad.
Kecanggihan di Huawei P20 dan P20 Pro ini boleh anda miliki tidak lama lagi kerana Huawei Malaysia telah mengumumkan pelancarannya di sini, pada 3 April minggu depan.
Huawei P20 akan datang dalam lima warna iaitu Hitam, Emas, Biru, Merah Jambu dan Twilight yang boleh bertukar-tukar warna bak sesumpah. Ia mempunyai tanda harga EUR649 (~RM3,106) di Eropah. Tetapi kami jangka ia akan di bawah RM3,000 di Malaysia.
Bagi Huawei P20 Pro pula, hanya empat warna disediakan iaitu Hitam, Biru, Merah Jambu dan Twilight. Harganya pula EUR899 (~RM4,303) di Eropah. Nampak macam ada kemungkinan ia boleh melepasi RM4,000 bila dijual di Malaysia.
Maklumat lanjut tentang telefon baru Huawei ini boleh dirujuk di laman web Huawei P20 dan Huawei P20 Pro. Sambil itu, jangan lupa tarikh 3 April nanti untuk mengetahui tentang harga dan tarikh jualannya di Malaysia.