Huawei P20 tiba di Malaysia dalam masa 7 hari

Belum lagi rasmi dilancarkan, sudah disahkan ketibaan. Huawei P20 yang dijadualkan akan dilancarkan di Paris jam 10 malam ini, telah ditetapkan membuat kemunculan sulungnya di Malaysia pada 3 April 2018, 7 hari dari sekarang.

Pengesahan ini dibuat menerusi jemputan media yang telah dikeluarkan oleh Huawei Malaysia sendiri. Pelancaran Huawei P20 dan Huawei P20 Pro di Malaysia akan dibuat pada jam 3 petang pada hari Selasa, 3 April 2018.

Di majlis pelancaran ini, pasti kita boleh menjangkakan harga dan tarikh jualan Huawei P20 dan P20 Pro di Malaysia akan diumumkan. Perkara ini sebenarnya tidaklah mengejutkan kerana Huawei Malaysia lebih awal lagi mendaftarkan peranti baru dengan model EML-L29 di SIRIM.

Sudah banyak khabar angin menghembuskan maklumat berkaitan telefon pintar terbaik Huawei ini. Antaranya adalah tiga lensa kamera Leica 40MP di belakang Huawei P20 Pro seperti yang dijelaskan di sini.

Berapakah harga yang mungkin untuk telefon terbaru Huawei ini? Kami jangkakan Huawei P20 akan kekal seperti Huawei P10 semasa pelancarannya iaitu RM2,499. Manakala Huawei P20 Pro mungkin pergi lebih jauh dari Huawei Mate 10, yang dilancarkan pada harga RM3,099.

Jika anda ingin turut serta menonton majlis pelancaran Huawei P20 secara langsung, ia boleh ditonton menerusi saluran Facebook, Twitter ataupun YouTube, bermula jam 9 malam ini waktu Malaysia.