Mungkin inilah sebabnya harga langganan Spotify dinaikkan awal tahun ini. Penyedia servis penstriman audio antara yang terbesar dunia itu umumkan yang mereka bakal perkenalkan Spotify HiFi tak lama lagi. Pengumuman itu dibuat menerusi acara livestream Stream On, acara yang menghimpunkan kemas kini yang bakal dibawakan Spotify untuk masa yang akan datang.
Spotify HiFi katanya akan diperkenalkan sebagai langganan tambahan ke atas langganan sedia ada. Ia mungkin seperti struktur langganan Netflix apabila untuk melayani kandungan UHD, anda perlu berada di pakej Premium.
Berdasarkan servis sedia ada, kualiti paling tinggi yang pelanggan perolehi apabila menetapkan kualiti audio kepada Extreme pada APP Spotify adalah 320kb/s.
Sebagai perbandingan, servis yang sudahpun ada audio HiFi seperti Tidal menyalurkan audio pada kadar 1141kb/s dalam format FLAC, satu format lossless yang banyak digunakan dalam kalangan audiofilia. Tapi, Tidal juga ada satu lagi format iaitu Hi-RES. Melaluinya, audio disalurkan pada telinga anda pada kadar 9216kb/s.
Qobus dan Deezer masing-masing ada penstriman sehingga 1141kb/s tapi Qobuz boleh pergi sehingga 9216kb/s.
Harga adalah kepingan puzzle terakhir yang masih tiada pada Spotify HiFi. Tapi, jangkakan harga yang kompetetif dengan pesaingnya yang lain.
Untuk langganan termurah, saya sudah tentu pergi cari pakej family, dan berkongsi langganan dengan yang lain. Tidal HiFi boleh dilanggan pada harga USD30/bulan. Ia jadikan kos untuk setiap orang, setiap bulan adalah USD5/bulan (RM20.21/bulan).
Deezer HiFi tiada pakej family dan anda boleh langgannya pada harga RM22.35/bulan. Cumanya Deezer tidak punyai kandungan HiFi 9216kb/s. Qobuz pelan family yang ada Hi-Res boleh dilanggan pada harga USD3.74/orang/bulan (RM15.12/orang/bulan).