Artikel asal oleh Amin Ashaari
Memiliki tiga kamera, tiga lensa, dan bilangan piksel pada permukaan sensor berjumlah 68 juta, Huawei P20 Pro boleh dikatakan diperkasa kamera paling canggih yang pernah ada pada sebuah telefon pintar.
Tapi, apakah signifikannya memiliki tiga “mata”?
Adakah ia memberikan keupayaan fotografi tiga kali ganda?
Mari kita lihat lebih dekat apakah keupayaan sebenar trikamera Huawei P20 Pro. Pertama sekali adalah pada spesifikasi teknikal.
Ditangkap menggunakan Night Mode [tekan untuk perbesar]
Pada bahagian belakang P20 Pro, anda takkan terlepas pandang sistem trikamera Leica. Ia terdiri daripada kamera 40MP RGB, 20MP monokrom dan 8MP untuk mengezum. Bergantung pada mode dan tetapan, sistem telefon secara pintar akan memilih, secara individu ataupun kombinasi, kamera mana yang paling sesuai untuk digunakan semasa menangkap gambar.
Pendek kata, anda hanya perlu menekan butang pengatup dan telefon akan mengambil alih semua kerja berat daripada anda seperti menggabungkan gambar daripada kamera berbeza hinggalah menyuntik “sos rahsia” Huawei sebelum imej akhir dipaparkan kepada anda.
Sistem pemerosesan imej yang amat canggih digunakan pada telefon ini semasa anda mengambil gambar, bukan saja canggih, lebih banyak berbanding apa-apa telefon yang pernah digunakan saya.
Ia adalah serampang dua mata dan akan ditimbang tara secara terperinci dalam reviu P20 Pro saya kelak.
Rekaan Berketelitian Agung
Sebelum menyelam lebih dalam, saya ingin menyentuh sedikit tentang rekaan panel belakang Huawei P20 dan P20 Pro. Huawei secara halusnya ingin menerapkan tatacara yang betul menggunakan telefon ini iaitu melintang, tidak sepert telefon lain.
Buktinya, semua cetakan abjad yang ada pada permukaan seperti perkataan “Huawei” dan “Leica” dicetak melintang kerana pereka ingin telefon ini digunakan dalam keadaan landskap.
Kedudukan perkataan dan susunan kamera yang selari antara keduanya akan memberitahu pada sesiapa sahaja yang melihat belakang panel ini yang ia adalah sebuah mesin berkejituan tinggi.
Kamera 3× Telefoto 8MP F2.4
Alihkan fokus anda ke kelompok sistem trikamera P20 Pro. Kamera yang terkanan adalah kamera 8MP dan ia memiliki keupayaan mengezum. Hanya kamera ini ada penstabil imej optikal manakala dua saudaranya yang lain perlu menggunakan penyelesaian elektronik untuk tujuan yang serupa.
(1×) Diambil menggunakan Auto Mode [tekan untuk perbesar]
(3×) Diambil menggunakan Auto Mode [tekan untuk perbesar]
(5×) Diambil menggunakan Auto Mode [tekan untuk perbesar]
(10×) Diambil menggunakan Auto Mode [tekan untuk perbesar]
Pada sudut lensa, ia mempunyai jarak fokal bersamaan 80mmp ada kamera full fram serta bukaan apertur seluas F2.4 serta dilengkapi sensor sebesar 1/4.4″.
Kesemua spesifikasi ini memberikan keupayaan zum optikal sebanyak 3x serta medan penglihatan yang sempit, sesuai digunakan untuk gambar bergenre portret ataupun mengezum subjek yang berada jauh daripada anda.
Kamera Utama 40MP RGB F1.8
Disebalik lensa berjarak fokal 27mm (setara full framme) adalah sensor 40MP dengan kanta berapertur F1.8. Terdapat beberapa keistimewaan pada kamera ini.
Yang pertama adalah, ia memiliki bilangan piksel terbanyak sejak Nokia Lumia 1020 dan Nokia 808 PureView.
Yang kedua adalah saiz sensornya 1/1.7″ berkemungkinan yang paling besar setakat ini dalam telefon Android. Untuk perbandingan:
- iPhone X menggunakan sensor 1/2.90″
- Galaxy S9+ menggunakan sensor 1/2.55″
- Lumia 1020 menggunakan sensor 1/1.5″
Perbandingan relatif saiz sensor Huawei P20 Pro dengan yang lain
Sensor yang besar membenarkan lebih banyak foton cahaya mampu ditangkap oleh kamera dan ia sangat berguna dalam keadaan malap. Bilangan piksel yang banyak membolehkan Huawei menggabungkan empat piksel menjadi satu piksel gergasi yang mampu menangkap butiran cahaya dengan baik.
Hal ini bermakna, sensor 40MP berupaya menghasilkan gambar berketajaman tinggi bersaiz 10MP. Bukan itu saja, untuk membidik fokus, sistem pengesanan fasa (PDAF) yang lebih pantas berbanding kamera sekelasnya digunakan.
Diambil menggunakan mode Auto (AI Mengesan Langit Biru) [tekan untuk perbesar]
Diambil menggunakan Night Mode [tekan untuk perbesar]
Kamera Sekunder 20MP Monokrom
Menerima gegelang lensa khas, kamera monokrom duduk bersendurian dikiri kelompok trikamera Leica. Ia dilengkapi sensor 20MP dengan apetur seluas F1.6 serta jarak fokal setara 27mm ditemani sensor pengimejan seluas 1/2.7″.
Kamera ini adalah unik kepada Huawei siri P kerana ia hanya melihat dalam hitam putih dan pastinya anda menganggap kamera ini hanya untuk mengambil portret hitam putih yang menawan. Tapi, ia lebih daripada itu.
Tujuan sebenar kamera monokrom ini adalah untuk menyokong kamera RGB dengan cara mengambil tanggung jawab memungut butiran terperinci gambar untuk digabungkan kepada maklumat warna yang diperoleh daripada kamera RGB.
Menggunakan sistem pengkomputeran yang canggih, ia boleh mensimulasikan kesan bokeh ataupun menyuntik butiran bebayang dan cahaya pada gambar RGB. Iaa turut menjadikan pengezuman digital nampak seperti dilakukan secara optikal.
Selain kamera telefoto 3X, dengan bantuan kamera monokrom, P20 Pro mampu mencapai zum sehingga 5X secara hibrid ataupun 10X secara digital.
Keajaiban ini diperkui sendiri oleh DXO Mark yang mengakui ia adalah teknologi mengezum terbaik pernah ada pada telefon pintar.
Kamera tiga sekawan berganding bahu hasilkan mahakarya
Perbandingan antara Night Mode (kiri) dengan Auto Mode (kanan)
Pastinya anda telah sedar yang prestasi kamera pada P20 Pro adalah hasil daripada penggunaan komponen premium serta sistem pengkomputeran canggih yang bertindak seia sekata. Kesemua ini tidak mungkin mampu dicapai tanpa kehadiran tiga kamera pada telefon ini.
Di antara kamera telefoto dan kamera utama, anda boleh menemui pemancar dan penerima laser yang digunakan untuk membidik fokus. Ada juga sensor warna yang dibangunkan Leica pada LED flash untuk menangkap lebih banyak maklumat warna seperti tona kulit subjek dalam keadaan pencahayaan yang kurang baik.
Natijahnya…
Huawei jelas sekali telah membanting tulang untuk menghasilkan Huawei P20 Pro dengan teknologi trikamera. Ia bukan saja kamera tercanggih pada telefon pintar, ia juga kamera terbaik setakat ini dengan markah 109 pada skala DXO Mark. Sungguhpun baru menggunakannya untuk beberapa hari, untuk mengambil gambar, saya boleh katakan P20 Pro amat sukar untuk ditandingi.