Siri Samsung Galaxy A adalah barisan telefon pintar kelas pertengahan, menampilkan ciri unik yang sukar ditemui pada jenama telefon pintar lain, skrin AMOLED. Untuk ciri premium seperti pengecasan wayarles dan kalis air, ia dikhususkan untuk peranti kelas flagship seperti Galaxy S dan Galaxy Note.
Tetapi telah timbul berita yang mengkhabarkan bahawa Samsung mahu memberikan satu ciri premium ini, ke dalam peranti kelas pertengahan mereka yang akan datang, Galaxy A52. Pelancarannya masih belum disahkan oleh Samsung, tetapi beberapa khabar angin telah membocorkan maklumat ketibaannya.
Evan Blass, pembocor berita terkenal telah berkongsi banyak info mengenai Galaxy A52. Satu perkara yang ditekan olehnya adalah, telefon pintar ini akan diiktiraf kalis air dan debu. Walaupun tidak diterangkan apakah tahap kekalisannya, beliau berkongsi gambar promosi Samsung yang menunjukkan Galaxy A52 dituang air sepenuhnya. Dijangka, ini sekurang-kurangnya di tahap IP67.
Selain itu, Samsung juga mengekalkan tema yang sama untuk barisan Galaxy di Galaxy A52 iaitu “Awesome”. Ia jelas kelihatan di skrinnya. Evan menambah, terdapat 4 warna yang akan dilancarkan untuk Galaxy A52 iaitu Awesome Black, Awesome White, Awesome Violet, dan Awesome Blue.
Dalam satu laporan lain, spesifikasi Galaxy A52 ditemui di senarai Google Play Console. Ia meletakkan perkakas seperti cip Qualcomm Snapdragon 750G 5G, RAM 6GB, skrin HD Penuh, dan Android 11.
Cakap-cakap lain di internet pula menambah bahawa Galaxy A52 akan dilengkapi skrin Super AMOLED 6.5-inci Infinity-O 90hz, 4 kamera belakang dengan kamera utama 64MP, kamera hadapan 32MP, bateri 4,500mAh dan pengecasan pantas 25W.
Adakah khabar angin ini akan tepat 100% atau mengena sipi-sipi sahaja? Jawapannya hanya ada pada Samsung. Buat masa ini, kita hanya boleh menantikan pengumuman rasmi Samsung tentang pelancarannya. Khabarnya lagi, sekitar bulan Mac ini.
[Sumber: @evleaks, GSMarena, SamMobile]
[Artikel ini dibawakan oleh Samsung]