Selepas memberikan sedikit petunjuk minggu lepas, hari ini Huawei Malaysia mengumumkan bahawa tablet Matepad 10.4 128GB dan komputer MateStation S, akan dilancarkan di Malaysia pada 20 Mac 2021. Huawei juga menyediakan hadiah percuma istimewa untuk pembeli yang membuat tempahan lebih awal.
Dalam pengumuman yang sama, Huawei turut memberi satu lagi petunjuk mengenai kedatangan produk baru, iaitu router Huawei AX3 Wifi 6. Kesemua ini akan boleh dibeli menerusi Stor Online Huawei Malaysia.
Huawei MatePad 10.4 128GB
Tablet Huawei yang diperbesarkan storan, dinaik taraf kuasa pemproses dan ditambah sokongan WiFi 6 ini akan dijual di Malaysia pada harga RM1,499. Ini hanya RM100 lebih mahal dari MatePad 10.4 64GB semasa dilancarkan tahun lepas.
Khas dari 16-19 Mac 2021, pembeli yang membuat tempahan awal untuk tablet Huawei MatePad 10.4 128GB di Stor Online Huawei, akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM665 berupa papan kekunci, pakej hadiah hiburan, dan langganan VIP MangoTV di Huawei Video selama 3 bulan.
Matepad 10.4 ini dikuasakan cip Kirin 820, RAM 4GB dan storan 128GB. Ia menerima kad mikroSD sehingga 512GB. Skrinnya berukuran 10.4-inci dari jenis IPS LCD, dengan resolusi HD Penuh 2000×1200. Kamera hadapan 8MP terletak di bingkai di atas skrin dan kamera belakangnya hanya satu iaitu kamera 8MP.
Tablet ini memiliki bateri sebesar 7,250mAh dan menyokong pengecasan pantas 22.5W melalui USB-C. Ia boleh mengecas 30% dalam masa 30 minit dan mengambil masa 2.5 jam untuk mengecas penuh. Sistem bunyi dikeluarkan melalui 4-speaker di kedua belah sisi tablet. Jek audio tiada tetapi Huawei memberikan adaptor USB-C ke 3.5mm.
Huawei MateStation S
Komputer baru Huawei dari jenis desktop ini tiada promosi tempahan awal. Bagaimanapun, hadiah percuma bernilai RM855 disediakan untuk pembeli terawal bermula dari 20 Mac 2021 di Stor Online Huawei. Hadiah tersebut berupa papan kekunci Huawei CD32, tetikus Huawei CD22, sekotak hadiah dan jaminan tambahan 1 tahun.
Huawei MateStation S akan boleh dibeli di Malaysia pada harga RM2,999 yang datang bersama monitor Huawei AD80, berukuran 23.8-inci. Jika dijual berasingan, monitor Huawei AD80 berharga RM688 manakala MateStation S berharga RM2,499.
Desktop ini menggunakan casis bersaiz kecil, hanya 9cm lebar dan 29cm tinggi. Casis ini direka lebih mesra pengaliran haba agar tahap kepanasan dapat dikawal pada tahap optimum. Tahap bunyinya juga rendah agar tidak mengganggu suasana persekitaran.
Kuasa pemprosesnya menggunakan cip AMD Ryzen 5 4600G bersama pemproses grafik Radeon Graphics terbina di dalamnya. Untuk RAM, ia boleh memuatkan sehingga 2 slot RAM DDR4 3200MHz. Manakala di storan, ia boleh dipasang dengan 2 SSD 256GB di slot M.2 PCIe.
Papan kekunci yang datang bersama MateStation S memiliki pengimbas capjari terbina di butang kuasa. Ia boleh digunakan untuk akses pantas mendaftar masuk. Selain itu, ia juga menyokong Huawei Share, membolehkan perkongsian dokumen pantas antara peranti Huawei.
Huawei AX3 (Dual-Core)
Router ini juga bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia kerana sebellum ini Huawei Malaysia telah pun melancarkan Huawei AX3 tahun lepas, tetapi dikuasakan cip 4-teras. AX3 Dual-Core atau dwi-teras memiliki prestasi yang sedikit rendah, tetapi masih mampu menyediakan kapasiti penghantaran data sehingag 3,000Mbps.
Untuk itu, ia juga akan dijual lebih murah. AX3 Quad-Core telah dijual di Malaysia pada harga RM299. AX3 Dual-Core ini akan dijual pada harga RM199 sahaja. Bagaimanapun, Huawei masih tidak menyatakan bilakah tarikh mula jualannya, adakah sama dengan MatePad 10.4 dan MateStation S iaitu 20 Mac 2021.
Dengan harga lebih murah ini, router AX3 Dual-Core boleh menjadi pilihan untuk pengguna yang mahu menggunakan WiFi 6 di rumah, memandangkan sudah banyak telefon pintar menyokong WiFi 6.