Boost kini menjadi penyedia e-wallet (e-dompet) terbaru di Malaysia menyokong penggunaan DuitNow QR, seleps Touch n Go eWallet dan ShopeePay. DuitNow QR ialah standard kod QR kebangsaan yang dikeluarkan oleh Payments Network Malaysia (PayNet) di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Operasi (ICTF) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Dengan DuitNow QR, ia menjadi standard kod pembayaran QR dan membolehkan pelbagai urusan tanpa tunai dan tanpa kontak, lebih mudah untuk semua pengguna e-dompet walaupun tidak menggunakan platform Boost. Selain itu, peniaga di Boost juga boleh menerima bayaran tanpa tunai daripada mana-mana pengguna e-dompet lain yang menyertai ekosistem PayNet.
Jadi, pengguna Boost boleh menggunakan e-dompet Boost mereka untuk membayar di mana-mana peniaga yang memiliki DuitNow QR, dan peniaga Boost boleh menerima bayaran dari mana-mana pengguna e-dompet.
Untuk membuat bayaran sebagai pengguna Boost di DuitNow QR sangat mudah. Hanya lancarkan aplikasi Boost, pilih butang “Scan & Pay” di bahagian bawah kemudian pilih “I Scan Them”. Sahkan pembelian dengan memasukan kod pin 6-digit atau pengesahan biometrik.
Pada ruangan soalan lazim (FAQ), tiada caj dikenakan apabila membuat pembayaran mengunakan DuitNow QR. Anda boleh melihat pembayaran dahulu dari ruangan ‘Transaction History‘ di aplikasi Boost.
Jika ada pertikaian mengenai pembayaran, anda dinasihatkan untuk menyelesaikannya dengan segera bersama peniaga jika masih ada di kedai. Untuk aduan lanjut, boleh berbuat demikian dengan menghubungi Khidmat Pelanggan Boost di dalam aplikasi, atau menerusi laman web Boost atau di emel [email protected].
Selain e-dompet, DuitNow QR turut disokong oleh kebanyak bank di Malaysia. BigPay turut mengumumkan bahawa mereka akan menyokong DuitNow QR dalam suku kedua tahun ini. Grab pula masih dalam proses untuk melancarkannya tidak lama lagi.
Untuk maklumat lanjut, rujuk bahagian soalan lazim (FAQ) DuitNow QR di Boost.