Oppo Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan telefon pintar mampu milik terbaru mereka, Oppo A54. Ia menggantikan tempat Oppo A53 sebagai peranti kelas permulaan, dengan harga dari di bawah RM600.
Oppo A54 dijual di Malaysia dengan varian dan harga seperti berikut:
- Oppo A54 (RAM 4GB + Storan 64GB) – RM 599
- Oppo A54 (RAM 4GB + Storan 128GB) – RM 699
Harga ini dilihat lebih murah dari Oppo A53 yang dilancarkan pada September 2020. Tetapi spesifikasi Oppo A54 dilihat ada penurunan juga.
Terdapat dua warna disediakan untuk Oppo A54 iaitu biru kristal dan hitam bintang. Ianya adalah warna gradien yang berubah-ubah mengikut sudut pandang pengguna.
Spesifikasi
Kuasa pemproses di Oppo A54 digerakkan oleh cip Mediatek Helio P35 (MT6755), bersama RAM 4GB dan storan sehingga 128GB. Kad mikroSD diterima untuk menambah ruang storan.
Tenaga pula disalurkan dari bateri sebesar 5,000mAh, dengan sokongan pengecasan pantas 18W USB-C. Speaker pada Oppo A52 kelihatan mono, kerana tidak dinyatakan terdapatnya speaker stereo. Di sini ia kekurangannya berbanding Oppo A53.
Paparan Oppo A54 berukuran 6.51-inci dari jenis LCD, dengan resolusi HD 720p dan kadar penyegaran 60Hz. Agak pelik kerana Oppo A53 dahulu menggunakan skrin LCD 90Hz. Pengimbas capjari diletakkan di sisi, bergabung dengan butang kuasa.
Untuk kamera, Oppo memasang tiga kamera belakang di telefon ini iaitu kamera utama 13MP, kamera makro 2MP dan kamera potret 2MP. Kamera hadapannya 16MP, terletak di dalam lubang di sudut atas skrin.
Oppo turut menyatakan bahawa Oppo A53 dilengkapi kekalisan air IPX4, memberi tahap kalis percikan air seperti hujan, tetapi tidak boleh masuk ke dalam air. Sistem operasinya menggunakan ColorOS 7, berasaskan Android 10.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Oppo A54.