Syarikat keselamatan siber, Kaspersky mendapati terdapat peningkatan 60% jumlah serangan berkaitan perbankan mudah alih dikesan pada suku kedua 2021 di Asia Tenggara (SEA).
Perbankan mudah alih Trojan digunakan oleh penjenayah siber, untuk mencuri duit secara langsung dari akaun bank mudah alih. Program ini biasanya kelihatan seperti aplikasi kewangan yang sah, tetapi apabila mangsa memasukkan kata laluan keselamatan untuk mengakses akaun bank, penggodam juga pada masa yang sama dapat memperoleh maklumat peribadi untuk mengakses akaun perbankan mudah alih mangsa.
Pada suku pertama dan suku kedua tahun 2021 sahaja, sebanyak 2116 serangan perbankan mudah alih Trojan telah dicatatkan di 6 Negara di Asia Tenggara, ini termasuklah di Malaysia.
Kebiasaannya, transaksi wang menggunakan bank mudah alih digunakan secara kerap untuk membeli-belah, membayar bil serta melihat transaksi penerimaan wang. Oleh itu, bagi memastikan akaun bank anda terhindar daripada penjenayah siber, berikut merupakan 5 cara yang boleh dilakukan untuk memastikan transaksi kewangan dalam talian anda sentiasa selamat.
1. Dapatkan kad kredit sementara
Bagi memastikan anda dapat membeli-belah dan melakukan pembayaran dalam talian tanpa gangguan, anda boleh menggunakan kad kredit sementara menggantikan kad kredit biasa untuk melakukan pembelian.
Usaha ini dapat menghalang penggodam daripada mencuri nombor kad kredit anda dan membuat pembelian tambahan. Cuma pastikan anda tidak menggunakan kad kredit jenis ini untuk sebarang pembelian yang memerlukan pembayaran pembaharuan automatik. Contohnya seperti kad maya BigPay Virtual Card, ia boleh ditukar sebulan sekali pada setiap bulan. Anda boleh gunakannya untuk membeli-belah dalam talian dan sebarang pembelian digital secara umum.
Sekiranya tidak boleh mendapatkan kad kredit sementara, alternatif lain yang boleh dilakukan ialah menggunakan kad kredit dengan had kredit rendah.
2. Khaskan komputer untuk transaksi perbankan dan membeli-belah dalam talian
Sekiranya anda mempunyai lebih daripada satu komputer, mungkin lebih baik anda khaskan sebuah komputer anda untuk urusan perbankan dan membeli-belah dalam talian sahaja. Maksudnya, komputer itu tidak digunakan untuk melayari Internet, memuat turun, memeriksa e-mel, rangkaian sosial dan aktiviti dalam talian yang lain. Secara tidak langsung, komputer itu akan bebas daripada virus.
Untuk keselamatan tambahan membeli-belah dalam talian, anda digalakkan memasang Google Chrome, dengan HTTPS diwajibkan. Ini dapat memastikan anda hanya mengunjungi laman web yang selamat.
3. Gunakan alamat e-mel khusus
Cipta alamat e-mel khusus untuk kegunaan membeli-belah dalam talian sahaja. Ia akan mengehadkan jumlah mesej spam yang anda terima dan mengurangkan risiko membuka e-mel jahat yang kononnya merupakan e-mel promosi jualan.
Contoh, anda buka satu e-mel khas untuk membeli belah di Shopee. Tetapi anda terima e-mel yang kononnya dari Shopee, menyatakan ada masalah berkaitan pesanan, tetapi ia dihantar di e-mel utama anda. Ada kemungkinan ia adalah mesej palsu atau hasad yang dihantar oleh penjenayah siber. Kerana anda tidak mendaftar menggunakan e-mel utama, jadi anda boleh berjaga-jaga di situ.
4. Lindungi kata laluan dalam talian
Gunakan kata laluan yang kuat dan berbeza untuk setiap akaun dalam talian. Ini adalah salah satu perkara paling penting yang boleh anda lakukan untuk mencipta situasi membeli-belah selamat di dalam talian. Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko akaun anda dari digodam.
Salah satu ciri kata laluan yang selamat ialah meletakkan karakter istimewa di tengah bukan pada awal atau akhir kata laluan.
5. Guna VPN & jangan guna Wifi Awam
Sebaiknya gunakan WiFi peribadi di rumah atau rangkaian lain yang dikenali untuk membeli-belah dalam talian. Kerana ada penggodam yang mampu mengambil alih isyarat WiFi serta membuat WiFi sendiri untuk menipu anda supaya tertarik menggunakannya. Mereka juga dapat melihat semua yang anda lakukan pada peranti mudah alih. Ini bermaksud jika anda log masuk ke akaun perbankan dalam talian atau laman web membeli-belah, penggodam boleh memperoleh nama pengguna dan kata laluan anda.
Jika anda terpaksa menggunakan WiFi awam untuk membeli belah di dalam talian, pastikan anda sudah memasang VPN (rangkaian peribadi maya). VPN akan menyulitkan semua data yang dihantar dari peranti mudah alih dan ia akan mencegah penggodam daripada melihat data sensitif yang anda masukkan.
5 langkah mudah di atas boleh digunakan mengikut lokasi dan kesesuaian pada peranti anda. Pastikan data dan akaun bank anda dilindungi dengan baik, bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa serangan siber.
[Sumber: Kaspersky]
[Sumber gambar: Badcredit]