Sabah dan Sarawak akan menikmati liputan Celcom 4G lebih baik apabila Celcom mengumumkan kerjasama mereka dengan ZTE, untuk mengoptimumkan 100 tapak rangkaian. Projek ini akan bermula pada November 2021 menggunakan teknologi ZTE L900, sejajar dengan perancangan Celcom untuk menamatkan rangkaian 3G menjelang hujung tahun ini.
Menurut Celcom, penggunaan teknologi L900 dengan spektrum 900MHz dikenalpasti dapat menyelesaikan penambahbaikan 4G dengan segera, dan menyediakan kesalinghubungan yang lancar untuk pengguna di kawasan pedalaman yang sukar dicapai. Ia juga menyediakan kuasa penembusan liputan dalam bangunan yang lebih baik, sekaligus membolehkan penghantaran data dan perkhidmatan Voice over LTE (VoLTE) yang lebih mantap di tapak yang disasarkan.
Pada April 2021, Celcom dan ZTE telah menggabungkan kepakaran teknologi dan kemahiran dalam melaksanakan inisiatif penaiktarafan 4G LTE bagi 70 tapak di Sabah dan Sarawak, melalui penggunaan spektrum 1800MHz. Inisiatif penambahbaikan ini telah menyelesaikan isu peningkatan trafik data dengan segera dan mempertingkat kualiti liputan di kawasan terlibat.
Aktiviti penambahbaikan rangkaian ini turut membantu mempertingkat kesalinghubungan bagi sekolah-sekolah di kawasan tersebut seperti Sekolah Kebangsaan Kukuro (22km dari Beaufort), Sekolah Kebangsaan Rancangan Klias (16km dari Beaufort), Sekolah Kebangsaan Nanamun (24km dari pekan Kota Belud), dan Sekolah Kebangsaan Samparita (26km ke Kota Marudu). Celcom juga bekerjasama dengan ZTE bagi menambahbaik liputan di sekitar enam buah sekolah di kawasan pedalaman Sarawak menjelang suku keempat tahun ini.
Kerjasama #MYBaikHati
Celcom dan ZTE turut membantu keluarga B40 melalui inisiatif #MyBaikHati, program pengumpulan peranti daripada orang ramai, bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk menjalani pembelajaran di rumah. ZTE telah membantu mengumpulkan peranti digital daripada rakan perniagaan dan kontraktornya, dan menyerahkan kesemua peranti tersebut ke Celcom Bluecube di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Pengguna 3G perlu berubah
Pengguna Celcom yang masih menggunakan peranti 3G, dinasihatkan untuk menaiktaraf kepada peranti 4G yang menyokong VoLTE. Pelanggan Celcom yang menggunakan kad SIM lama juga perlu menukar kepada kad SIM baru untuk memastikan ia boleh disambung ke rangkaian 4G.
Menurut perancangan JENDELA, terdapat kurang daripada 900,000 pengguna di seluruh Malaysia yang masih belum bertukar ke 4G. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mensasarkan untuk memindahkan sebanyak mungkin pengguna kepada 4G, sebelum rangkaian 3G dimatikan.
Selepas rangkaian 3G ditamatkan perkhidmatan, pengguna dengan peranti 3G masih boleh membuat panggilan dan menghantar SMS menerusi rangkaian 2G. Selepas 3G ditutup sepenuhnya, syarikat telekomunikasi akan mengitar semula spektrum 900MHz dan 1,200MHz kepada 4G untuk meningkatkan liputan.