Data adalah matawang alaf baru. Dulu, anda simpan data digital dalam storan fizikal seperti disket dan kemudian pemacu kilat. Kelebihan menggunakan kaedah penyimpanan ini adalah anda memiliki storan fizikal itu dan anda yakin bahawah datanya selamat.
Namun, masalah timbul apabila anda perlu kongsikan data tersebut dengan orang lain kerana storan fizikal itu perlu bertukar tangan, barulah data boleh dikongsikan.
Masalah itu diatasi dengan solusi storan awan yang membolehkan anda memuat naik data ke Internet. Ia menyelesaikan isu perkongsian yang dihadapi storan fizikal kerana data boleh diakses daripada Internet, bila-bila masa dimana jua.
Walau bagaimanapun, masalah baharu timbul. Anda berdepan dengan langganan berkala. Bukan sahaja isu langganan, seandainya anda sangat pentingkan keselamatan data, adakah anda percayakan pihak ketiga untuk pastikan data anda selamat?
Kalau anda nak dapatkan manfaat daripada dua dunia, anda perlu pertimbangkan storan sambung rangkai (NAS) sebagai solusi penyimpanan data anda.
Apakah NAS?
NAS adalah akronim kepada Network Attached Storage. Ia adalah sejenis storan pintar yang bersambung pada Internet dan boleh diakses pengguna. Ia seperti stor di rumah tempat ahli-ahli keluarga boleh simpan dan ambil barang dengan selamat.
Berbeza dengan storan awan, memiliki NAS bermakna anda memiliki data itu secara fizikal dan anda sendiri yang lakukan kawal selia perkakasan anda makanya data anda lebih selamat.
Dengan NAS, semua orang yang anda benarkan boleh mengakses data dalam persekitaran yang selamat. Data seperti gambar percutian, dokumen penting, ataupun muzik video kegemaran boleh dilayani pada bila-bila masa.
Apa yang NAS boleh lakukan?
NAS sangat versatil dalam penyediaan solusi storan data anda. Ia digunakan oleh sekecil-kecil individu hinggalah sebesar-besar entiti korporat.
Kalau saya pengguna berskala kecil, saya boleh gunakan NAS untuk simpan dokumen peribadi seperti gambar keluarga, video, muzik, dan sebagainya. Ataupun, saya boleh beri akses kepada ahli keluarga untuk melayani kandungan multimedia terus daripada telefon masing-masing.
Malahan, saya boleh tetapkan ruang storan peribadi kepada mereka untuk simpan dokumen mereka sendiri.
Kalau saya mengendalikan sebuah perusahaan dan sedang berkembang, saya boleh manfaatkan ciri kebolehskalaan tanpa had NAS. Kaedahnya sama seperti penggunaan berskala kecil, saya cuma perlu tambah storan dan pertingkat keselamatan.
Dah bersedia untuk pilih NAS pertama anda?
Dunia produk NAS sangatlah luas. Memilih sesuatu yang seusai perlukan pertimbangan yang sewajarnya. Jadi, apa yang perlu difaktor sewaktu memilih NAS?
Pertama sekali, anda perlu fikirkan untuk tujuan apakah anda akan gunakan NAS itu. Ia salah satu pemberat dalam pemilihan ruang storan. Misalnya, menyimpan dokumen peribadi perlukan ruang lebih kecil daripada menyimpan dokumen syarikat.
Jadi, NAS untuk kegunaan peribadi, saiz storan biasanya lebih kecil.
Anda turut perlu masukkan pemboleh ubah berapa ramaikah yang akan gunakan storan itu. Kalau seorang, kecillah ruang penyimpanan dan begitu jugalah sebaliknya.
Tambahan pula, lebih ramai orang yang mengakses NAS, maka lebih tinggilah trafik keluar masuk perkakasan anda. Keadaan ini akan mempengaruhi kelajuan perpindahan data yang dialami setiap orang yang mengakses NAS.
Kemudian, kalau anda gunakannya untuk kegunaan pejabat, contohnya anda mengendalikan perusahaan dengan beberapa orang kakitangan, anda perlu pertimbangkan NAS dengan paras keselamatan lebih tinggi seperti paras RAID yang lebih tinggi untuk perlindungan data daripada HDD rosak.
Konfigurasi RAID yang diperlukan akan menentukan berapakah slot HDD yang diperlukan sewaktu memilih NAS.
NAS daripada jenama apa yang bagus?
Synology adalah nama besar dalam produk NAS. Keunikan produk mereka berbanding pesaing adalah setiap daripada produk NAS Synology diperkasa sistem operasi khas hasilan sendiri yang dipanggil Synology DiskStation Manager (DSM).
DSM membolehkan orang biasa seperti saya dan anda menjadi handal dalam pengoperasian NAS kerana semua tugas-tugas yang rumit telah dipermudah dalam satu antara muka yang intuitif.
Synology DS220+ : Sesuai untuk kegunaan peribadi
Synologi DS220+ adalah NAS dalam pakej kompak untuk pengurusan data. Sesuai untuk kegunaan individu ataupun kumpulan kecil, ia menawarkan 2 slot HDD yang setiap satunya boleh menerima storan sehingga 16TB.
Di bahagian belakangnya ada 2 port LAN 1Gb. Port USB di bahagian depan boleh anda gunakan untuk menyalin kandungan kad SD, storan external ataupun pemacu kilat terus memasuki NAS tanpa perantara.
Synology DS920+ : Sesuai untuk kegunaan pejabat
Synology DS920+ tawarkan 4 slot HDD. Tapi kalau tak cukup, anda boleh tambahkan satu aksesori yang sediakan 9 slot HDD.
Slot HDD yang banyak boleh berikan tahap keselamatan data lebih tinggi kepada data dalam situasi HDD rosak apabila anda menggunakan teknologi RAID.DS920+ menyokong konfigurasi sehingga RAID 6 atau dalam bahasa mudah, ia ada toleransi kepada kegagalan sehingga 2 HDD tanpa risiko kehilangan data.
DS920+ ada 2 port LAN 1Gb sama seperti DS220+ tapi untuk berikan prestasi perpindahan lebih pantas, ia turut menyediakan 2 slot M.2 SSD yang bertindak sebagai cache antara HDD dengan pengguna.
Cara lebih pantas untuk pilih Synology pertama anda
Synology ada ratusan produk NAS untuk dipilih. Jadi, mereka telah sediakan satu laman khas untuk bantu anda membuat pilihan.
Synology NAS Selector akan tanyakan jenis pengguna, sama ada untuk rumah, pejabat kecil, ataupun perniagaan. Kemudian, ia turut bertanyakan jenis kegunaan NAS yang anda inginkan seperti menyimpan fail kerja, multimedia, menyalin data ataupun lakukan kerja pemvirtualan.
Sekiranya anda berminat tentang produk NAS daripada Synology, berikut adalah beberapa pautan menarik yang boleh anda telaah.