Digital Nasional Berhad (DNB) hari ini mengumumkan bahawa perkhidmatan rangkaian 5G mereka akan mula beroperasi di Malaysia pada hari Rabu, 15 Disember 2021. Kawasan yang terlibat dalam fasa pertama liputan 5G DNB ini terletak di sekitar lokasi terpilih di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.
Dalam pengumuman yang sama, DNB turut menyatakan bahawa mereka akan menyediakan perkhidmatan 5G secara percuma kepada penyedia rangkaian telekomunikasi (telko) di semua lokasi 5G yang siap sebelum 31 Disember 2021. Perkhidmatan percuma di lokasi ini, akan disediakan tanpa sebarang caj kepada telko sehingga 31 Mac 2021.
DNB menambah lagi, jika telco menandatangani perjanjian borong bersama DNB sebelum 31 Mac 2022, mereka juga akan menikmati perkhidmatan 5G percuma, untuk semua lokasi 5G yang ditambah DNB antara 31 Disember 2021 sehingga 31 Mac 2022.
Bagaimanapun, pengguna hanya dapat mencuba perkhidmatan 5G jika telko bersedia menggunakan perkhidmatan 5G oleh DNB. Setakat ini, Hanya Telekom Malaysia (TM) telah mengesahkan bahawa mereka akan memulakan percubaan rangkaian 5G untuk pengguna Unifi Mobile. Telco lain iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan YTL masih belum menyatakan kesediaan mereka.
Untuk itu, DNB menggesa pegguna untuk memeriksa dengan telco mereka tentang kesediaan perkhidmatan 5G.
Maklumbalas yang dingin daripada telco terhadap tawaran 5G oleh DNB dikhabarkan berpunca daripada isu ketelusan dan harga yang diberikan. Perkara ini dilaporkan oleh Reuters di mana maklumat dalaman telco menyatakan bahawa mereka masih tidak bersetuju dengan perjanjian yang disediakan DNB.
Bagaimanapun, DNB menolak khabar angin berikut dan menjelaskan bahawa masih tiada telco yang bersetuju kerana Tawaran Akses Rujukan (RAO) belum lagi diterbitkan kerana belum mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). DNB hanya boleh memulakan rundingan komersial dengan telco selepas RAO dimuktamadkan.
DNB juga menjanjikan kelajuan sekitar 100Mbps walaupun di kawasan hujung liputan. Dalam previu bersama media pagi ini, DNB memperlihatkan rangkaian 5G oleh telco mencapai kelajuan muat turun melebihi 800Mbps, muat naik melebihi 100Mbps dan lengah sekitar 10-29ms di dalam bas yang bergerak. Ujian ini memperlihatkan SIM daripada pelbagai telco iaitu Maxis, Digi, Celcom, U Mobile, Unifi Mobile dan YTL.
DNB turut menekankan bahawa mereka tidak akan bersaing dengan industri dalam menyediakan perkhidmatan 5G kepada pengguna. Malah, DNB yakin bahawa sistem borong perkhidmatan 5G mereka menyediakan kos yang lebih rendah kepada telco berbanding kos sedia ada di 4G sekarang. Ia dijayakan menerusi satu infrastruktur yang tidak bertindih dan spektrum lebuhraya super yang diuruskan secara tunggal oleh DNB supaya menjadi lebih efisyen dan jimat kos.
DNB mensasarkan untuk menyediakan 40% liputan 5G di kawasan berpopulasi pada tahun 2022, termasuk negeri Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. Sebanyak 80% liputan 5G di kawasan berpopulasi disasarkan menjelang tahun 2024, menjadikan Malaysia sebagai penyedia 5G kedua terbaik di rantau Asia Tenggara.