Bunyi yang realistik dan grafik yang tinggi merupakan antara ciri hebat, yang diidamkan oleh individu apabila bermain game di telefon. Namun, tidak semua telefon mampu berikan pengalaman tersebut kepada pengguna. Jika anda gemar bermain game, tetapi tidak dapat pengalaman hebat seperti itu, ini masanya untuk anda beralih ke telefon gaming.
Kebanyakan telefon gaming mempunyai spesifikasi yang tinggi dan sudah tentu anda akan rasa teruja menggunakannya. Untuk memastikan anda dapat pengalaman yang hebat apabila bermain permainan video, anda harus dapatkan telefon gaming dengan 6 ciri penting ini:
1. Pemproses prestasi tinggi & RAM yang besar
Aspek pertama yang perlu dipertimbangkan untuk membeli telefon gaming ialah pemproses berprestasi tinggi dan RAM yang besar. Telefon anda perlu pantas, jadi anda perlu cari telefon dengan cip Snapdragon 888. Contohnya, Asus ROG Phone 5s, Lenovo Legion Phone Duel 2, Xiaomi 11T Pro dan Sony Xperia 5 III.
Anda juga boleh pertimbangkan cip lain seperti Snapdragon 870, MediaTek Dimensity seperti Dimensity 1000 dan Dimensity 1200. Contoh telefon gaming yang datang dengan cip ini ialah Black Shark 4, ia menggunakan cip Snapdragon 870.
Selain itu, telefon untuk bermain permainan video perlulah mempunyai jumlah RAM yang besar dan storan dalaman yang mencukupi. Sekurang-kurangnya 8GB RAM diperlukan untuk memastikan peranti anda bagus dan boleh digunakan untuk bermain semua jenis permainan yang baharu.
2. Ada mekanisme penyejukan dalam telefon
Apabila telefon digunakan untuk bermain game dengan kerap, maka suhunya akan meningkat. Oleh itu, sesebuah telefon gaming memerlukan sistem penyejukan yang baik untuk kurangkan haba, agar prestasi pemproses tidak terjejas. Kebanyakan telefon gaming mempunyai mekanisme penyejukan yang canggih di dalam peranti.
Sebelum dapatkan telefon gaming, pastikan anda cari dan baca ulasan yang boleh dipercayai mengenai prestasi permainan dan penyejukan telefon secara terperinci. Contohnya Lenovo Legion Phone Duel 2 yang mempunyai kipas penyejuk di dalamnya.
3. Kapasiti bateri besar
Lebih banyak anda bermain permainan di telefon pintar, lebih banyak kuasa yang akan digunakan. Oleh itu, pastikan telefon anda mempunyai kapasiti bateri yang cukup besar. Faktor seperti kadar resolusi, tetapan grafik dan kadar penyegaran yang tinggi boleh menghabiskan bateri dengan cepat. Jadi, pastikan telefon anda mempunyai sekurang-kurangnya 4,500mAh kapasiti bateri agar hayatnya boleh bertahan lama semasa anda bermain permainan.
Untuk permainan seperti Call of Duty Mobile dan PUBG Mobile, satu perlawanan boleh berlangsung lebih dari 30 minit. Jadi, apabila telefon mempunyai bateri berkapasiti besar, anda boleh bermain dengan lama tanpa perlu fikir tentang hayat bateri.
Antara telefon pintar gaming yang didatangkan dengan bateri berkapasiti besar ialah Asus ROG Phone 5s. Baterinya berkapasiti 6,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 65W melalui USB-C.
4. Resolusi skrin & kadar penyegaran tinggi
Untuk melihat paparan permainan yang baik, anda perlu mempunyai resolusi skrin yang lebih tinggi. Dapatkan telefon gaming dengan sokongan resolusi skrin sekurang-kurangnya HD penuh 1080p.
Selain itu, kadar penyegaran yang tinggi juga boleh memberi manfaat pada permainan anda. Paparan dengan kadar penyegaran yang lebih tinggi akan menunjukkan lebih banyak bingkai sesaat berbanding skrin 60Hz tradisional. Skrin telefon gaming yang moden akan disertakan dengan sokongan kadar penyegaran dari 90Hz sehingga 160Hz.
5. Ada speaker stereo dan sokongan 3.5mm jack audio
Untuk dapatkan pengalaman bermain game bebas lag antara audio dengan visual, anda perlu dapatkan telefon yang menyokong 3.5mm jack audio. Kebanyakan pemain lebih memilih untuk sambungankan fon kepala atau fon telinga kepada telefon kerana ia tidak akan menghasilkan kependaman audio. Ianya juga lebih baik dari fon telinga bluetooth.
Jika anda suka bermain game tanpa fon telinga, maka pembesar suara stereo adalah ciri ideal yang perlu ada pada telefon gaming. Ia boleh meningkatkan kualiti bunyi pada peranti, sekaligus meningkatkan lagi keterujaan anda bermain game. Anda juga dapat dengar bunyi lebih realistik seperti tapak kaki dari sebelah kiri atau kanan, pergerakan jet terbang, bunyi tembakan dan dentuman bom.
6. Sokong aksesori tambahan
Bagi menambah pengalaman menarik apabila bermain permainan video, anda perlu dapatkan aksesori tambahan untuk telefon. Tetapi ada telefon gaming yang disertakan sekali dengan aksesori. Contohnya Asus ROG Phone 5s, ia datang bersama kipas penyejuk AeroActive cooler apabila anda membelinya. Selain itu, ia turut menjual aksesori tambahan secara berasingan yang sudah dijamin serasi dengannya. Contohnya, ROG Kunai Gamepad.
Selain itu, anda juga boleh dapatkan aksesori lain untuk bermain dengan lebih hebat. Seperti beberapa aksesori yang dikeluarkan Realme. Iaitu Realme Mobile Game Finger Sleeves, sesuai untuk pemain yang jarinya mudah berpeluh. Kemudian, Realme Cooling Back Clip iaitu kipas penyejuk yang membantu mengurangkan kehangatan telefon pintar dan Realme Mobile Game Controller iaitu alat kawalan yang menghantar isyarat elektrik secara langsung ke skrin dengan jarak keunci sangat pendek.
Sekiranya anda sedang merancang untuk beli telefon pintar gaming, pastikan telefon tersebut ada 6 ciri yang dikongsikan ini supaya anda dapat mencipta pengalaman yang menyeronokkan apabila bermain permainan video menggunakan telefon anda.
[Sumber: TheIndianExpress]