Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, semalam bercakap dalam satu sidang media di Parlimen Malaysia tentang projek DNB yang hangat diperkatakan.
Intipatinya adalah mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah melakukan perbincangan tentang projek 5G Malaysia dengan Menteri Kewangan sekarang, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, secara rahsia.
Zahidi juga memetik nama Fadhlullah Suhaimi, pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebagai pihak yang terlibat dalam perbincangan rahsia itu kerana penganugerahan spektrum frekuensi radio masih di bawah bidang kuasa suruhanjaya terbabit.
Disebabkan ia perbincangan tertutup dan pengerusi SKMM tidak pernah hadir ke Parlimen untuk memberi penjelasan, sebarang persoalan yang timbul dalam sidang dewan tidak dapat dijawab dengan lengkap. Hal ini kerana, pihak SKMM yang sering hadir cumalah wakil dan lebih parah, tidak jelas tentang projek 5G ini.
Satu lagi isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang yang gagal dijawab Zahidi adalah tentang penglibatan bumiputera dalam projek 5G yang bernilai RM20b ini.
Beliau memaklumkan yang pihak Kementerian Komunikasi menerima aduan tentang cara pelaksanaan projek DNB ini. Aduan tersebut adalah syarikat-syarikat bumiputera gagal bersaing untuk merebut tender kerana semuanya disapu bukan bumiputera.
Datuk Zahidi memberi hint:
“Saya katakan tadi, kenapa Ericsson? Sebab apa? Saya katakan tadi, CEO-nya Ralph Marshall, Timbalan CEO Ralph Marshal, daripada Maxis. Kemudian, Dushyan daripada Maxis. Kemudian, kebanyakan projek Maxis, kontraktornya adalah Ericsson. Tapi bila buat DNB, Ericsson juga”
Sumber: MalayMail