Realme telah melancarkan tablet pertama mereka, Realme Pad di India pada September tahun lepas. Ia kemudiannya tiba di Malaysia pada bulan November. Walaupun ini adalah tablet yang baru, ia telah menerima khabar buruk seawal tahun baru 2022.
Realme Pad dilancarkan dengan sistem operasi (OS) Realme UI for Pad, berasaskan Android 11. Kebiasaannya, pengeluar akan memberikan satu kali kemaskini OS untuk peranti kelas pertengahan seperti ini. Tetapi laporan rasmi menyatakan, Realme Pad tidak akan menerima kemaskini Android 12.
Perkara ini diterangkan di dalam forum komuniti rasmi Realme, FAQ Minggu #52 yang dimuat naik pada 10 Januari 2022. Soalan tentang, adakah Realme Pad akan dikemaskini ke Android 12? Jawapan yang diberikan adalah TIDAK, tetapi tablet tersebut akan terus menerima kemaskini keselamatan dan prestasi sepanjang kitaran perisiannya.
Bagaimanapun, dalam semakan hari ini, 14 Januari 2022, soalan tentang Realme Pad dan Android 12 sudah tidak kelihatan lagi. Tidak diterangkan mengapa ia hilang tetapi ia mungkin untuk mengelakkan daripada lebih banyak persoalan dan menimbulkan kemarahan peminat.
Jika benar Realme tidak akan memberikan kemaskini Android 12 kepada Realme Pad, ramai mengaitkannya dengan cip Mediatek Helio G80 yang digunakan di dalamnya. Walaupun cip ini dilancarkan tidak sampai dua tahun lepas, peranti yang menggunakan Mediatek terkenal sering lewat menerima kemaskini OS.
Malah, pegawai eksekutif Xiaomi, Li Ming pernah menyatakan sebelum ini bahawa pihak Mediatek sendiri mengambil masa yang lama untuk mengemaskini perkakas, berbanding pengeluar cip yang popular, Qualcomm. Tidak menghairankan jika kita sering melihat, peranti yang dikuasakan cip Snapdragon lebih cepat menerima kemaskini berbanding cip Mediatek.
Lebih mengecewakan lagi kerana Google telah merancang untuk mengemaskini Android 12 kepada Android 12L, dilengkapi ciri-ciri yang lebih mesra tablet seperti notifikasi dua baris, serta menjalankan tetingkap berbilang aplikasi lebih mudah. Malah, Najib yang telah menguji Realme Pad, mengesyorkan Realme Pad sebagai tablet terbaik untuk dimiliki di bawah RM1,000.
Semoga Realme dibukakan pintu hati untuk berusaha lebih keras, memberikan sekurang-kurangnya satu naik taraf OS kepada Realme Pad nanti. Tapi jangan terlalu lewat juga.
[Sumber: GSMarena]