Buat masa ini, pengguna lebuhraya hanya ada pilihan membayar tol menggunakan kad Touch n Go, ataupun melalui PayDirect dan RFID yang dihubungkan ke aplikasi Touch n Go eWallet. Kerajaan Malaysia akan menghentikan monopoli ini apabila mengumumkan bahawa orang ramai boleh menggunakan mana-mana penyedia pembayaran digital membayar tol, tidak lagi hanya Touch n Go.
Perkara ini diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusof dalam satu wawancara eksklusif bersama portal berita Free Malaysia Today. Tambah beliau, tidak lama lagi ia terpulang kepada orang ramai untuk menggunakan mana-mana kaedah pembayaran digital – sama ada anda mahu guna e-wallet Touch n Go atau kad debit, kad kredit, Visa, Mastercard atau mana-mana sistem pembayaran (elektronik) selagi tersedia di lebuh raya (tertentu).
Pengumuman ini berkaitan dengan tag RFID yang mula diperkenal di Lebuhraya Utara-Selatan kendalian PLUS, pada 15 Januari 2022. Tag RFID yang digunakan sekarang, hanya boleh dihubungkan kepada Touch n Go eWallet, di mana pembayaran tol dibuat menggunakan baki di dalam eWallet tersebut. Selepas ini, tag RFID yang sama boleh dihubungkan kepada mana-mana pembayaran digital untuk membuat bayaran tol.
Bagaimanapun, pelaksanaan ini bergantung kepada kadar penembusan penggunaan RFID yang memuaskan serta kesediaan syarikat konsesi lebuh raya menghubungkan penyedia tambahan bayaran dalam talian. Beliau juga berkata, syarikat konsesi terbabit telah diarahkan untuk bersedia melaksanakan Sistem Aliran Bebas Berbilang Laluan (MLFF) menjelang 2025.
Fadillah juga mengesahkan bahawa kad Touch n Go untuk pembayaran tol, akan ditamatkan pada 2025 dan laluan Smart Tag akan dimansuhkan secara berperingkat seperti perancangan yang telah dibuat sebelum ini. Mengakui pelaksanaan RFID mengalami kelewatan beberapa tahun daripada jadual sepatutnya, Fadillah menegaskan terdapat beberapa elemen yang perlu dimuktamadkan oleh LLM sebelum melancarkan MLFF secara besar-besaran. “Kita perlu melihat aspek peraturan, prosedur penguatkuasaan, pembangunan prasarana, kadar penembusan RFID dan pelan komunikasi untuk pelaksanaan MLFF,” tambahnya.
Kad Touch n Go telah sekian lama menjadi kekangan kepada naik taraf sistem pembayaran tol di Malaysia. Sistem SmartTAG yang perlu dipautkan kepada kad fizikal Touch n Go, mengakibatkan sistem RFID di Malaysia tidak dapat dilaksanakan dengan kuasa sebenar, terutama sekali bagi pembayaran tol tanpa henti, pantas dan lancar.
Masalah ini ditambah lagi dengan kedegilan kad fizikal Touch n Go untuk berevolusi dengan dunia digital, kerana masih tidak menerima tambah nilai secara dalam talian, serta masih mengenakan caj untuk tambah nilai kad, di samping caj perkhidmatan lain jika kad digunakan sebagai tiket tempat meletak kenderaan. Sedangkan kad Touch n Go digunakan secara meluas di seluruh Malaysia, tetapi sistemnya masih di tahap kuno.
[Sumber: FMT]