Apabila PLUS mula melaksanakan sistem RFID di plaza tol mereka mulai 15 Januari lepas, ia berhadapan kesesakan trafik yang teruk pada hari Isnin pertama. Perkara ini mengakibatkan amarah kepada pengguna jalanraya dan ada yang mula mencari siapakah di sebalik tag RFID ini.
Beberapa hari kebelakangan ini, tular perkongsian di media sosial yang mengaitkan SMTrack Berhad, syarikat pakar teknologi RFID sebagai penyedia perkhidmatan RFID di plaza tol. Untuk menjernihkan keadaaan, SMTrack telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menyanggah sebarang tuduhan mengaitkan mereka dengan perkara tersebut. Malah, mereka tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang bagi tuduhan tidak berasas ini.
Dalam kenyataan tersebut, Timbalan Pengerusi Eksekutif SMtrack Berhad, Azmi bin Osman, menafikan tuduhan tidak berasas ini dan berdiri teguh bersama Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat serta pemegang saham utama. Dia juga menyangkal sebarang penglibatan dengan projek RFID di plaza tol, tetapi menyatakan sokongan terhadap teknologi tersebut.
Perlu difahami bahawa teknologi RFID tidak sahaja digunakan di plaza tol, malah ia mempunyai penggunaan yang meluas termasuk pengiklanan, penjejakan aset, pengesahan serta tag produk di kedai untuk mengelakkan kecurian.
SMTrack tidak terlibat dengan projek RFID di Plaza Tol
Azmi menjelaskan, “Sehingga kini, SMTrack tidak terbabit dalam projek RFID di plaza tol. Sebagai syarikat pakar dalam penyelesaian RFID, sudah tentu ia percaya pada nilai tambah yang akan dibawa oleh teknologi itu kepada komuniti. Malah, SMTrack yakin bahawa pengenalan RFID di plaza tol akan meningkatkan kecekapan dan trafik memandangkan ujian yang betul dijalankan dan ia sudah digunakan selama lebih dua tahun.”
“Perjalanan akan menjadi lancar dan ini adalah sesuatu yang kami percaya syarikat boleh membantu menyumbang kepada projek itu, dengan matlamat utama untuk menyumbang kepada kemudahan orang ramai. Bagaimanapun, pada ketika ini, kami tidak terbabit dalam projek itu,” tegasnya.
Azmi juga menyangkal dakwaan bahawa pelantikan Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat adalah berkaitan dengan hubungan politiknya. Beliau berkata, pelantikan Saiful Nizam sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif tiada kaitan dengan hubungan politiknya dan ia dilakukan berdasarkan merit dan pengalaman beliau semata-mata. Sebagai Pengarah Bebas, Saiful Nizam tidak terbabit dalam keputusan dan operasi perniagaan seharian.
Saiful Nizam memulakan kerjaya Eksekutif Projek dalam industri minyak dan gas serta menjadi Pengarah Urusan di Kumpulan Menara Rezeki. Dia juga adalah menantu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
SMTrack turut menegaskan bahawa kumpulan itu juga tidak membabitkan Tan Sri Lee Kim Yew dalam sebarang lobi untuk mana-mana projek bagi syarikat walaupun beliau muncul sebagai pemegang saham yang besar. SMTrack ialah entiti senaraian awam dan mana-mana pelabur yang mempunyai keyakinan dengan syarikat boleh melabur dalam syarikat melalui pasaran terbuka. Tan Sri Lee Kim Yew adalah pengasas The Mines Resort dan Country Heights Holdings. Dia telah membeli 28.5 juta saham SMTrack pada Disember tahun lepas, bersamaan pegangan sebanyak 5.051%.
SMTrack menegaskan sekali lagi, propaganda politik yang disebarkan terhadap syarikat itu adalah tidak bertanggungjawab. Tuduhan dan pembohongan tidak berasas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengelirukan orang ramai, memusnahkan reputasi entiti tersenarai dan integriti pasaran modal Malaysia dan mengelirukan orang ramai mengenai faedah teknologi RFID.
Oleh itu, beliau berkata, pihaknya merayu kepada kerajaan dan penguatkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap pembohongan berkenaan. SMTrack tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan tidak berasas ini untuk melindungi integriti syarikat.
“Jika tuduhan tidak berasas ini membawa kepada pemergian pelabur terkemuka dan pemimpin berwibawa seperti Kim Yew dan Saiful Nizam, akan ada kesan merosakkan kepada reputasi kumpulan, prestasi kewangan dan juga harga saham kami. Oleh itu, saya merayu agar Kim Yew dan Saiful Nizam kekal bersama kumpulan,” kata Azmi.
SMTrack terlibat dengan projek 5G
Beberapa minggu lalu, sebuah konsortium yang membabitkan SMTrack Berhad, Country Heights Holdings Berhad, Jaikun International Berhad, Sersol Berhad, Techna-X Berhad dan MQ Technology Berhad, telah menandatangani satu perjanjian induk (HOA) bersama 5G Infra Tech Solution Sdn Bhd, bagi pengumpulan dana serta pembiayaan projek 5G dan berkaitan rangkaian gentian optik. Konsortium juga merancang untuk kerjasama pembiayaan pembangunan menara 5G.
Pengerusi Eksekutif 5G InfraTech Dato Saiful Nizam mendedahkan bahawa Ennova adalah yang pertama menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pembiayaan projek 5G. Dia berkata, Ennova merancang untuk memasang dan menyelenggara 350 menara rangkaian di sekitar Kuala Lumpur dan mampu membangunkan 10,000 menara di seluruh negara dengan pembiayaan utama daripada 5G InfraTech.
Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Datuk Seri Mohd Redzuan berkata, konsortium itu yang diterajui SMTrack akan membolehkan rangkaian 5G Malaysia dibiayai di peringkat tempatan, sekaligus menjimatkan berbilion aliran keluar tukaran asing untuk negara.
[Sumber: BH, Dagangnews]
Bacaan Berkaitan
- Monopoli Touch n Go di tol akan dihentikan, pengguna diberi pilihan pembayaran digital terbuka
- 6 perkara PLUS dan Touch n Go patut buat untuk pelaksanaan RFID lebih lancar
- Boleh tak pegang RFID dengan tangan untuk bayar tol?
- RFID dan ANPR di lebuhraya PLUS dilaksana mulai 15 Januari. Ini 8 perkara yang anda perlu tahu
- RFID di semua lebuh raya PLUS sebelum Februari 2022