AirAsia, syarikat penerbangan terkemuka di Asia Tenggara mahu merevolusikan perjalanan udara apabila mengumumkan telah menandatangani memorandum persefahaman tanpa ikatan dengan Avolon, syarikat pemajakan pesawat antarabangsa. Dalam perjanjian ini, AirAsia akan memajak sekurang-kurangnya 100 buah pesawat eVTOL VX4 daripada Avolon.
Dengan pesawat eVTOL VX4, AirAsia boleh menyediakan perkhidmatan perjalanan udara lebih maju kepada penumpang, seterusnya mengubah cara untuk penumpang bergerak dengan lebih cekap menggunakan platform mobiliti udara dalam bandar (UAM). Sebelum dapat melaksanakannya, Avolon dan AirAsia akan membentuk kakitangan untuk memohon pensijilan tempatan, menyelidik peluang pasaran yang berpotensi dan keperluan infrastruktur untuk UAM.
Pesawat VX4 eVTOL dibangunkan oleh Vertical Aerospace dari Amerika Syarikat, mampu membawa empat penumpang serta seorang juruterbang. Ia memiliki kelajuan sehingga 200 batu/jam (320kmj) dan boleh pergi sehingga lebih 100 batu (160km) dalam satu perjalanan. Menggunakan enjin elektrik, VX4 beroperasi sangat senyap serta sifar perlepasan karbon.
Avolon telah menempah 500 buah pesawat VX4 eVTOL daripada Vertical Aerospace, bernilai USD2 bilion. Sejak itu, Avolon telah menerima pesanan sebanyak 250 buah pesawat VX4 untuk Gol dan Grupo Comporte di Brazil, sehingga 100 buah pesawat untuk Japan Airlines di Jepun, dan sekurang-kurangnya 100 buah pesawat untuk AirAsia.
Dómhnal Slattery, Ketua Pegawai Eksekutif Avolon berkata: “Tony Fernandes ialah perintis penerbangan yang telah membina AirAsia menjadi salah satu syarikat penerbangan terkemuka di dunia dan kini juga telah mencipta Super App yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan tumpuan kepada perjalanan. Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan AirAsia yang berkongsi visi kami untuk merevolusikan masa depan perjalanan udara. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Tony dan seluruh pasukan AirAsia dalam perjalanan eVTOL mereka. Bersama-sama kami akan membangunkan platform perkongsian perjalanan dan tidak lama lagi akan menawarkan pesawat VX4 dengan pelepasan sifar, menjadikan AirAsia sebagai pengendali pilihan untuk perjalanan udara yang mampan di rantau ini.”
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata: “Inovasi adalah DNA kami dan kami menggunakan teknologi untuk melihat cara yang lebih cekap dan mampan dalam semua teras Capital A (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group). Kami kini lebih daripada sebuah syarikat penerbangan dengan lebih 20 produk dan perkhidmatan pada airasia Super App yang memanfaatkan antara satu sama lain termasuk penerbangan, hotel, makanan, barangan runcit, penghantaran, e-panggilan perjalanan dan banyak lagi. Saya berbesar hati dengan kerjasama antara Avolon dan AirAsia ini dan potensi untuk perjalanan udara jarak pendek dengan pelepasan sifar di Asia Tenggara. Kita sekarang berada di era digital. Kami percaya VX4 akan menjadi pesawat pilihan eVTOL dan kami teruja kerana bakal menjadi syarikat penerbangan pertama untuk melancarkan perkhidmatan menggunakan pesawat ini di Asia Tenggara. Kami juga berbesar hati untuk melanjutkan kerjasama dengan Avolon, yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam menghantar pesanan kepada pelanggannya dan sejajar dengan visi kami untuk menjadi platform perjalanan dan penghantaran sehenti terkemuka di Asean.”
Stephen Fitzpatrick, Ketua Pegawai Eksekutif Vertical berkata: “Kami turut berbesar hati kerana AirAsia ialah syarikat penerbangan terkemuka terbaharu yang komited untuk menempah pesawat VX4 dengan pelepasan sifar. AirAsia telah menyediakan banyak peluang kepada para pelancong untuk meneroka dan mengembara di beberapa buah negara yang tercantik dan pelbagai di dunia, dan saya teruja kerana kami akan membawa penerbangan dengan pelepasan sifar kepada orang ramai di seluruh Asia.”
[Sumber: AirAsia]
Bacaan Berkaitan
- AirAsia sasar jadi syarikat serupandu dan penghantaran makanan terbesar di Asia
- AirAsia buka sekolah memandu drone dengan kurikulum yang diluluskan CAAM
- AirAsia Xpress sedia perkhidmatan penghantaran segera sepantas 1 jam
- AirAsia FACES: wajah anda ganti pas masuk pesawat
- AirAsia X cadang untuk pulangkan 0.5% sahaja hutang tiket penerbangan sebagai langkah penstrukturan semula