Setel, aplikasi eWallet untuk pembayaran di stesen minyak Petronas, telah melancarkan satu perkhidmatan baru. Pengguna Setel kini boleh membuat pembayaran meletak kenderaan di dalam aplikasi tanpa sebarang sentuhan, tiada tiket fizikal dan menggunakan pembayaran digital.
Perkhidmatan ini diperkenal buat pertama kali di pusat beli-belah terkemuka Lembah Klang, Suria KLCC. Ia menggunakan sistem pengecaman nombor pendaftaran kenderaan (ANPR), untuk mengenalpasti kenderaan tanpa perlu mengambil tiket. Sistem ini hampir serupa dengan Smart Parking di Sunway Pyramid.
Bagaimana guna Setel untuk parkir?
Jika anda masuk ke tempat letak kereta Suria KLCC, anda perlu memandu kenderaan ke laluan yang dipasang sepanduk ‘Setel Automated Parking’. Ia akan mengecam nombor pendaftaran kenderaan dan dipadankan dengan maklumat yang ada di dalam sistem Setel.
Palang akan terbuka jika ia menepati data yang telah didaftarkan di dalam sistem Setel. Pemandu tidak perlu bersusah payah menurunkan tingkap kenderaan, untuk mengambil tiket fizikal atau menyentuh mesin untuk pembayaran digital.
Untuk perbandingan, Suria KLCC memerlukan minima baki kad Touch n Go sekurang-kurangnya RM6 untuk masuk ke tempat letak kenderaan. Tetapi dengan Setel, tiada baki minima diperlukan. Malah, jika kadar bayaran letak kenderaan melebihi baki di dalam eWallet Setel, ia akan menghantar notis kepada peranti pengguna. Pengguna juga boleh melihat maklumat seperti tempoh masa, kadar bayaran dan lain-lain maklumat masa nyata di dalam aplikasi Setel.
Untuk keluar pula, anda perlu memastikan baki mencukupi dahulu. Jika fungsi tambah nilai automatik diaktifkan, tidak perlu risau tentang baki tidak mencukupi. Seterusnya, pastikan anda memandu ke laluan yang memiliki sepanduk ‘Setel Automated Parking’. Kamera ANPR akan mengesan nombor pendaftaran, sistem Setel akan memproses bayaran dan palang akan dibuka untuk keluar.
Bayaran letak kenderaan akan ditolak terus dari baki eWallet Setel. Pengguna juga boleh melihat resit bayaran di dalam aplikasi. Lebih baik lagi, pengguna turut menerima mata ganjaran Mesra. Tambah Setel lagi, tiada caj tambahan dikenakan untuk menggunakan perkhidmatan Setel ini. Tetapi jika ada masalah, hubungi sahaja pusat khidmat pelanggan Setel di dalam aplikasi.
Cara mula menggunakan Setel Parkir
Setel masih menandakan perkhidmatan parkir ini sebagai Beta di dalam aplikasi. Pendek kata, masih di tahap ujian dan mungkin masih ada sedikit masalah. Tetapi mengaktifkannya sangat mudah. Cuma yang lebih penting, adalah memastikan nombor pendaftaran kenderaan dalam keadaan baik dan menepati peraturan JPJ.
Mula-mula sekali, pastikan aplikasi Setel telah dikemaskini ke versi terbaru. Kemudian pergi ke ruangan Lagi (More) di bawah, dan tekan Parkir (Parking). Anda akan dibawa ke ruangan pengenalan ringkas. Tekan Jom Mula (Get Started) untuk langkah seterusnya.
Selepas itu, anda dibawa ke halaman utama Parkir dan ia menunjukkan senarai kenderaan, cara pembayaran dan lokasi perkhidmatan disediakan. Buat masa ini, ada 3 lokasi disenaraikan iaitu Suria KLCC, KLCC Convention Centre (akan datang) dan KLCC Lot 91 (akan datang).
Pengguna perlu memasukkan maklumat kenderaan sebelum mula menggunakannya. Pergi ke ‘Tambah Kenderaan’ dan isi maklumat yang diperlukan iaitu nombor plat, warna dan jenis kenderaan. Boleh juga isi jenama dan model kenderaan jika mahu, ia tidak diwajibkan.
Secara lalai, kenderaan yang baru dimasukkan ini tidak diaktifkan dahulu. Boleh dilihat, tombol berwarna kelabu di kanan maklumat kenderaan. Untuk mengaktifkannya supaya boleh digunakan meletak kenderaan, tekan sahaja tombol tersebut menjadi hijau. Bagaimanapun, ia perlukan kata laluan atau pengesahan biometrik sebelum boleh diaktifkan.
Di ruangan ini, lebih dari satu kenderaan boleh dimasukkan. Bagaimanapun, hanya satu kenderaan boleh digunakan untuk meletak kenderaan dalam satu masa. Jika anda membawa lebih dari satu kenderaan bersama keluarga, ke Suria KLCC contohnya, maka anda kena guna akaun Setel yang berbeza.
Walaupun ada pilihan pembayaran, hanya eWallet Setel boleh digunakan sebagai bayaran buat masa ini. Sudah pasti lebih banyak cara membayar akan ditambah kemudian. Jika anda tidak mahu risau kekurangan baki di eWallet, aktifkan sahaja ciri tambah nilai automatik.
Penambahan perkhidmatan sebegini di dalam aplikasi Setel sangat dialu-alukan. Sedikit demi sedikit, Setel dilihat mahu meluaskan penggunaan mereka untuk menjadi sebuah Super App, sama dengan yang ada di kebanyakan aplikasi eWallet lain seperti Boost, Grab dan Touch n Go eWallet.
[Sumber: Setel]