Setel, aplikasi mudah alih untuk mengisi minyak Petronas dan membeli-belah di kedai Mesra, kini meluaskan lagi pilihan untuk menambah nilai ke dalam e-wallet mereka, Dompet Setel. Sebelum ini, ia menerima pembayaran menggunakan kad kredit/debit dan perbankan dalam talian sahaja. Kini ia boleh ditambah nilai menggunakan e-dompet GrabPay.
Dengan tambah nilai menggunakan GrabPay, pengguna Setel akan beroleh mata ganjaran GrabRewards. Di samping itu, pengguna juga dapat mengumpul mata ganjaran Mesra untuk pembelian petrol atau barangan di mana-mana Kedai Mesra di seluruh negara dengan Setel.
Untuk mula menggunakan GrabPay bagi tambah nilai Dompet Setel, pengguna perlu menggunakan aplikasi Setel versi 1.91.0 dan ke atas. Aplikasi Setel boleh dimuat turun di Apple Appstore, Google Playstore dan Huawei AppGallery.
Bagi meraikan kerjasama ini, pengguna baharu Setel dan GrabPay boleh meraih ganjaran tambahan sehingga RM21. Mulai 21 Mac sehingga 2 April 2022, Pengguna Setel baharu akan menerima kredit Setel sebanyak RM9 secara percuma bagi tiga transaksi tambah nilai pertama yang berjumlah RM30. Manakala pengguna GrabPay baharu akan dihadiahkan diskaun 20%, dengan had nilai sebanyak RM12 bagi transaksi dalam talian mereka yang pertama, jadi pengguna boleh menerima lebih banyak kredit Setel dengan harga lebih jimat.
Untuk maklumat lanjut, layari laman promosi Setel x GrabPay.
Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkongsi, “Usaha sama Setel dengan GrabPay membolehkan kami memperluaskan lagi pilihan tambah nilai serta ganjaran daripada rakan kongsi kami untuk para pelanggan. Di Setel, matlamat kami adalah untuk menawarkan pengalaman mobiliti yang lebih baik di Malaysia. Setiap fungsi dan penambahbaikan yang kami perkenalkan di aplikasi ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pelanggan kami, yang terus menjadi nadi usaha inovasi kami.”
Berkongsi sentimen yang sama, Priyanka Madan, Ketua GrabPay, Grab Malaysia menyatakan bahawa usaha sama dengan Setel ini mencerminkan komitmen GrabPay untuk membekalkan solusi-solusi kewangan yang inklusif bagi memenuhi keperluan digital para pelanggan kedua-dua pihak. “Sebagai penyedia e-dompet antara yang terkemuka di Malaysia, kami percaya bahawa jalinan usaha sama bersinergi boleh membekalkan rakyat Malaysia dengan akses yang mudah ke atas keperluan harian mereka seperti snek, minuman dan petrol. Dengan perkembangan penerimagunaan e-dompet di seluruh Malaysia, sistem sekuriti kami terus berfungsi untuk menjamin keselamatan setiap transaksi.”
Tambah nilai Dompet Setel dengan Tunai
Setel juga menyatakan mereka kini menerima bayaran tunai untuk tambah nilai Dompet Setel. Ia boleh dilakukan di mana-mana stesen Petronas. Hanya pergi ke kaunter pembayaran dan beli tambah nilai Setel dalam nilai RM10, RM20, RM50 atau RM100. Dapatkan resit pembelian bersama kod baucar dan tebusnya di dalam aplikasi Setel.