[Reviu] Nova 2i Asimilat Beberapa Helah Mate 10 Masuk Padanya

Pendahuluan

Telefon kelas pertengahan adalah segmen yang paling banyak pesaing dalam arena telefon pintar. Segmen ini semakin ramai penggunannya dek kerana flagship yang semakin tahun semakin meninggalkan cakupan kemampuan kita. Ia menyebabkan pengguna sedikit demi sedikit mula berpaling kepada alternatif yang lebih murah.

HUAWEI contohnya, walaupun mereka miliki dua peserta dalam kelompok flagship iaitu siri Mate dan Siri P, mereka tidak melupakan segmen yang telah melonjakkan nama satu ketika dulu. Siri nova dan siri Y menjadi pelengkap kepada penawaran produk HUAWEI kepada pengguna.

Terbaru adalah sebuah telefon yang diminati Hannah Delisha iaitu nova 2i. Ia adalah telefon pertama HUAWEI yang memiliki empat kamera serta menggunakan paparan 18:9. Tapi adakah ia mampu bertahan dalam gelanggang yang maha hebat ini? Teruskan membaca pengalaman saya bersama nova 2i

Rupa Fizikal

Berdepan dengan HUAWEI nova 2i, perkara yang paling nyata pada telefon ini adalah panel paparannya yang luar norma. Ia adalah yang pertama mengaplikasikan nisbah paparan 18:9 dalam peranti siri nova. Anda akan menemui panel IPS bersaiz 5.9″ dalam badan telefon 5.5″ seperti Xiaomi Mi A1.

Sungguhpun begitu, resolusi paparan nova 2i tidak secanggih yang ada pada flagship seperti Galaxy Note8. Diberikan panel 2160×1080, ia tidaklah sesuatu yang negatif, kecualilah anda menggunakan telefon ini pada gogal VR.

Galaxy Note8 pun apabila dihidupkan sejurus keluar kotak, ia ditetapkan dalam mode HD Penuh saja kerana paparan adalah komponen yang paling banyak menelan tenaga bateri. Maka, anda tak perlu gusar dengan terma HD+ padanya.

Ruang berketinggian 1cm pada dahinya menempatkan dua kamera depan, speaker, dan sejumlah sensor manakala bahagian bahawanya pula tiada butang kapasitif kecuali tanda cap HUAWEI.

Bahagian belakang pula agak lapang dek badannya yang memanjang daripada biasa. Flash, kamera, dan pengimbas cap jari disusun selari pada bahagian tengah. Anda boleh menemui speaker, mikro-USB dan port audio dikumpulkan pada bahagian bawah telefon ini.

Sisi yang melengkung memberikan tahap ergonomik yang baik pada telefon ini manakala badan unibody yang diperbuat daripada alumunium pula membuatkan ia rasa utuh dipegang. Pada bahagian kiri telefon terletaknya slot SIM. Sebanyak dua slot diberikan dan slot kedua adalah daripada jenis hibrid untuk menempatkan kad mikro-SD.

Disebalik badan alumunium sepenuhnya nova 2i, anda akan menemui papan utama yang terpateri cip hasilan sendiri HUAWEI iaitu Kirin 659. Ia adalah cip pemproses kelas pertengahan yang dibina menggunakan teknologi 16nm. Cip Qualcomm yang setara dengannya adalah Snapdragon 625.

Spesfikasi teknikal yang lain untuk nova 2i boleh dirujuk dalam jadual di bawah.