Nubia Z17s pencabar terbaru kelas flagship dengan skrin nirbingkai

Mungkin masih ramai tidak mengenali jenama Nubia, tetapi ia adalah satu jenama yang popular dari China dengan konsep murah tetapi berkuasa tinggi. Macam Xiaomi dan OnePlus.

Berita baru yang diterima dari internet memperlihatkan satu model baru Nubia akan tiba ke Malaysia tidak lama lagi, dan ia tergolong di dalam kelas flagship. Pada Jun lepas, Nubia melancarkan Nubia Z17 mini berkuasa tinggi di Malaysia.

Tidak lama lagi, model terbaru Nubia Z17s akan boleh dimiliki oleh pengguna di Malaysia. Nubia Z17s baru dilancarkan di China sebulan yang lepas, menggantikan kedudukan Nubia Z17 sebagai telefon pintar flagship paling berkuasa keluaran Nubia.

Perkara ini dapat dilihat menerusi laman web DirectD, yang menyatakan Nubia Z17s dibuka untuk pra-tempahan, dengan penghantaran dijangka pada 25 November 2017. Harga jualannya pula hanya RM2,599 dengan 8GB RAM dan 128GB storan dalaman. Bagaimanapun hanya ada satu warna ditawarkan, iaitu Biru Aurora.

Perkara paling penting dinaiktaraf pada Nubia Z17s adalah skrinnya yang ditukar kepada paparan nirbingkai 5.73-inci, dengan nisbah 17:9 dan resolusi 2040×1080. Nubia kini menuruti trend masakini yang menggunakan paparan lebih panjang dari nisbah biasa 16:9.

Bagi mengekalkannya di dalam kelas flagship, Nubia Z17s diperkasa pemproses Snapdragon 835, RAM 8GB dan storan dalaman 128GB. Disebabkan ia menggunakan skrin panjang, bulatan merah yang bertindak sebagai butang Home di hadapan telah dibuang.

Perkara menarik untuk diperkatakan pada Nubia Z17s sudah pasti tentang kameranya. Telefon ini memiliki sebanyak 4 kamera keseluruhannya, dua di depan dan dua di belakang, seperti Huawei Nova 2i. Tetapi ia adalah kamera yang lebih berkuasa.

Dua kamera belakang & dua kamera depan

Dua kamera belakang Nubia Z17s adalah gabungan kamera 23MP f/2.0 dan 12MP f/1.8, berfungsi ibarat 2x zum optikal. Kamera hadapan pula kedua-duanya menggunakan lensa 5MP f/2.2. Kamera ini dikuasakan lagi dengan enjin imej NeoVision 7.0 yang memberikan fungsi pengecaman wajah, kecantikan 3D, pengaburan latar dan beberapa lagi fungsi lain.

Lain-lain perkara yang terdapat pada Nubia Z17s adalah seperti bateri sebesar 3,100mAh yang menyokong pengecasan Quick Charge 4.0, sambungan USB-C, pengimbas capjari di belakang, dan menjalankan sistem operasi Android 7.1 Nougat.

Untuk yang berminat, tempahan telefon pintar Nubia Z17s boleh dibuat di laman web DirectD, serta turut dilihat terdapat di stor Nubia Malaysia dan stor Nubia di Lazada. Harga jualannya ialah RM2,599 dan disediakan dalam warna Biru Aurora sahaja.