Hasil suku ketiga Celcom meningkat di sebalik pasaran yang merudum

Celcom Axiata terus mencatat keuntungan lebih tinggi bagi suku ketiga tahun ini berbanding sebelumnya. Keuntungan hasil perkhidmatan pada asas suku tahunan (QoQ) meningkat 1.9% kepada RM1.524 bilion dan keuntungan keseluruhan meningkat 2.1% kepada RM1.655 bilion.

Keuntungan data juga menunjukkan pertumbuhan dengan perkembangan lebih 25% bagi tahun ke tahun (YoY) kepada RM730 juta. Penggunaan data pengguna bagi suku ketiga turut melonjak berbanding suku kedua, dari 6.2GB kepada 7.2GB secara purata pengguna yang aktif.

Laporan ini dibentangkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata, Michael Kuehner bersama barisan pegawai tertinggi Celcom Axiata dalam satu majlis bersama media.

Di kala pengunaan prabayar sedikit merudum, Celcom berjaya mengaut untung dengan peningkatan hasil sebanyak 3.7% bagi suku ini. Keuntungan purata setiap pengguna (ARPU) turut meningkat RM2 menjadi RM33. Jumlah pelanggan prabayar sedikit menurun, tetapi ia disebabkan aktiviti Celcom membuang nombor yang tidak lagi aktif pada suku tersebut.

Prestasi rangkaian Celcom kini lebih pantas dan stabil selepas tamatnya projek naiktaraf yang dibuat awal tahun ini. Liputan LTE telah mencapai 82% kawasan berpopulasi dan liputan LTE-Advance (Carrier Aggregation) pula telah mencapai 43%.

CEO Celcom yakin peningkatan kali ini disumbang oleh langkah-langkah proaktif yang diambil, terutama sekali perubahan ketara dalam pengalaman pelanggan. Malah, Celcom berjaya memenangi ‘Anugerah Kepuasan Pelanggan Terbaik‘ dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Oktober lepas.

Celcom mensasarkan untuk membuat perubahan lebih besar dalam aspek pengalaman pelanggan. Baru-baru ini mereka telah melancarkan hab ‘Social Media Experience‘ atau smEX bagi mendekati pengguna di media sosial.