Pabila “Noob” Diberi Kamera RM14,888, Inilah Hasilnya

Pendahuluan

Ahli terbaru kamera siri A daripada Sony sudahpun diumumkan akan tiba di Malaysia pertengahan bulan Disember 2017. Walaupun menerima kritikan kerana tiada penambahbaikkan pada sensor berbanding α7R II yang dilancarkan pada 2015, α7R III tetap mempamerkan prestasi yang mantap.

Bersedia untuk berasa kagum dengan sampel-sampel gambar daripada Sony α7R III sepanjang tempoh kami mencubanya.

En. Eric Ooi adalah “sifu” kami untuk bengkel mengambil gambar potret. Jika tidak menjadi guru dalam kelas fotografi, beliau bertugas untuk menjaga masa. Selain bertanya pada “Datuk Harimau”, saya gunakan α7R III untuk mencari waktu.


Gambar sebesar 42MP daripada α7R III memberikan ruang yang besar untuk saya bermain semasa menyunting. Ya, jam menunjukkan pukul 5:10 petang, masih ada 45 minit sebelum waktu berhimpun di tempat yang sudah ditetapkan.

Daripada dek tinjau Marina Sands Bay saya dihidangkan dengan pemandangan yang mempesonakan 360-darjah kota Singapura. Saya melihat pelbagai senibina unik seperti Supertree Grove, Gardens by the Bay dan sebagainya. Ke arah selatan pula terdapat selat Singapura yang penuh dengan kapal tangki.

Berhampiran jambatan Helix, terletaknya The Float yang sering dijadikan lokasi konsert kerana ia boleh menampung sehingga 90,000 orang pada satu-satu masa.

Kelihatan sekumpulan pekerja kontrak tiba dengan sebuah lori untuk melakukan kerja penyelengaraan di sekitar kawasan itu.

Dengan imej sebesar 42MP daripada sensor α7R III, tiada masalah untuk mengezum masuk secara digital dan seterusnya mengenal pasti yang lori itu datang daripada syarikat Build Mate (S) Pte. Ltd.

Di The Gardens By The Bay, anda boleh lawati dua jenis kubah. Yang pertama adalah Flower Dome yang menempatkan tumbuh-tumbuhan daripada serata buana. Amat mengagumkan tentang bagaimana mereka boleh mengekalkan suhu yang sejuk untuk sebuah kubah yang amat besar.

BACA  10 Video Bertemakan Merdeka Yang Patut Anda Tonton

Saya berasa seperti berada di tanah tinggi dengan suhu yang jauh lebih selesa berbanding di luar.

Dalam banyak-banyak bahan pameran, anda pasti akan terserempak dengan sebuah arca naga yang diperbuat daripada kayu mati yang dikutip.

Mengambil gambar menghadap matahari adalah satu perkara yang sangat tidak digalakkan. Apabila matahari berada di belakang subjek, kebanyakkan kamera akan gagal memberikan exposure yang seimbang kerana tidak memiliki julat kedinamikan (dynamic range) yang luas untuk melihat butiran yang gelap pada subjek.

Hasilnya, subjek sering kali nampak gelap.

Sungguhpun memiliki sensor yang sama seperti α7R II, tahap kedinamikan pada α7R III jauh lebih tinggi iaitu sehingga 15 tahap. Maka, mengambil gambar dengan backlight bukanlah masalah pada kamera ini.

Oh, sebelum terlupa, kubah kedua adalah Cloud Dome yang dibina mirip dunia Pandora dalam filem Avatar.