Laptop gaming sentiasa berhubung direalisasi AMD dan Qualcomm

Selain pengumuman cip Snapdragon 835 digunakan ke dalam komputer, Qualcomm turut mengumumkan kerjasama dengan satu lagi pengeluar cip terbesar dunia, AMD. Qualcomm akan membekalkan cip modem Snapdragon LTE sebagai kuasa tambahan kepada cip pemproses mudah alih AMD Ryzen.

Dengan adanya cip modem LTE dari Qualcomm, laptop dan peranti mudah alih berkuasa tinggi yang menggunakan cip mudah alih AMD Ryzen, boleh menikmati sambungan mudah alih LTE sepantas 1Gbps di mana jua. Ini memastikan pengguna dapat sentiasa berhubung (Always Connected) menggunakan laptop mereka.

Pengguna juga akan memiliki pilihan laptop berkuasa tinggi menggunakan pemproses AMD Ryzen Mobile dan grafik AMD Radeon, selain laptop yang dikuasakan cip Snapdragon 835. Bolehlah bermain permainan video seperti DotA 2 atau Overwatch tanpa sambungan WiFi nanti.

Mungkin ini gandingan yang lebih baik dari tawaran NVIDIA Max-Q. Tetapi masih belum ada pengeluar yang menyatakan akan menggunakan gabungan cip AMD Ryzen dan cip modem Snapdragon LTE buat masa ini.

[Sumber: AMD]

BACA  Anda Mungkin Perlu Mengeluarkan Wang Untuk Memasang Custom ROM Pada Peranti Huawei