Pelan prabayar baru U Mobile korbankan panggilan & SMS untuk WhatsApp, WeChat & Joox

U Mobile nampaknya mendahului telco lain bagi tahun 2018 dengan memperkenalkan dua pelan baru untuk pengguna prabayar. Berkonsepkan data terlampau tanpa had, dua pelan baru tersebut adalah UMI 26 dan UMI 36.

Ada dua perkara yang membezakan kedua-dua pelan baharu ini dari pelan prabayar U Mobile yang sedia ada. Persamaannya adalah seperti memiliki data khas Video-Onz yang sama banyak dengan kuota data biasa, serta data khas App-Onz dan Music-Onz tanpa had.

Dua perkara baru dalam pelan UMI 26 dan UMI 36 adalah, pertama pemberian data tanpa had untuk permesejan WhatsApp dan WeChat. Yang kedua adalah, pass VIP untuk menstrim lagu menerusi platform Joox yang bernilai RM14.90 sebulan.

Pengguna pelan UMI 26 dan UMI 36 akan menerima kod VIP Joox dengan membalas SMS yang diterima setiap kali melanggan atau memperbaharui langganan. Ia kemudiannya boleh ditebus di dalam aplikasi Joox. Tetapi pengguna akan dicaj 15sen untuk setiap balasan SMS ini.

Pelan UMI 36 berkadar RM36 sebulan, datang dengan 7.5GB data berkelajuan tinggi sepanjang masa bersama 7.5GB data Video-Onz. Selain itu, ia turut memiliki App-Onz (Facebook, Twitter & Instagram), Music-Onz serta penggunaan WhatsApp & WeChat tanpa had. Ia juga boleh menonton YouTube tanpa had dari jam 2 pagi hingga 10 pagi.

Pelan UMI 26 pula berkadar RM26 sebulan, diberikan 2.5GB data berkelajuan tinggi sepanjang masa bersama 2.5GB data Video-Onz. Ia turut menerima App-Onz (Facebook, Twitter & Instagram), Music-Onz serta penggunaan WhatsApp & WeChat tanpa had. Tetapi tiada data YouTube jam 2 pagi hingga 10 pagi.

Jika dibandingkan dengan pelan lama UMI 30, pelan UMI 36 menerima 5GB data Video-Onz tambahan bersama WhatsApp & WeChat tanpa had untuk RM6 tambahan sebulan. Manakala pelan UMI 26 pula ditambah 3GB data, iaitu 1GB data sepanjang masa dan 2GB data Video-Onz, berbanding pelan UMI 20.

Satu perkara penting, tiada lagi panggilan dan SMS percuma diberikan di dalam pelan baru UMI 26 & UMI 36. Malah, data Waze yang diberikan tanpa had dalam pelan prabayar UMI sebelum ini, tidak lagi kelihatan dalam pelan baru ini.

Untuk maklumat lanjut layari laman web prabayar UMI U Mobile.