Bersembang atau bersosial tanpa-had dengan Hotlink RED baharu

Seperti yang dinyatakan semalam, hari ini Maxis mengumumkan pek prabayar baharu Hotlink RED. Ia mahu menawarkan internet tanpa had untuk aplikasi terpilih tanpa membayar lebih dari biasa.

Pelan Hotlink RED ini kelihatan tidak membawa promosi yang terdapat pada Hotlink FAST sebelum ini. Tiada lagi 999GB data Facebook percuma, tiada lagi data 2GB hujung minggu percuma.

Sebaliknya ia digantikan dengan 10GB data Facebook, dan data khas tanpa-had buat aplikasi sosial atau sembang (chat) terpilih. Tawaran harian istimewa di HotlinkMU masih dikekalkan di pek Hotlink RED.

Pek permulaan Hotlink RED dijual pada harga RM10, dengan kredit RM5 (sah selama 5 hari) dan 300MB internet berkelajuan tinggi (sah selama 2 hari) apabila diaktifkan. Internet asas diberikan PERCUMA, tetapi tidak dinyatakan berapa kuota. Tak penting nak tau sebab takkan habis pakai pun. Kadar panggilan dicas 15sen/30saat dan SMS 15sen, ke semua rangkaian.

Keistimewaan Hotlink RED adalah pada tawaran aplikasi mudahalih terpilih tanpa had, dalam dua pakej. Pakej RED Chat memberikan internet tanpa-had untuk aplikasi WhatsApp, WeChat, LINE, IMO & QQ. Pakej RED Social pula bagi aplikasi Facebook, Instagram, Snapchat, Twitter & Pinterest.

Tetapi untuk menikmati internet tanpa had pada pakej RED Chat atau RED Social ini, pengguna perlu melanggan pelan internet mudahalih dahulu. Hotlink RED kini menyediakan pelan internet baru secara harian, mingguan atau bulanan.

Pelan harian RM3 memberikan 2GB data sepanjang hari, manakala pelan mingguan RM10 pula hanya 1.5GB data untuk kegunaan 7 hari. Bagi pelan bulanan, terdapat dua pilihan di antara RM35 6GB dan RM45 8GB. Kesemua pelan ini memberikan pengguna pilihan internet tanpa had di antara pakej RED Chat atau RED Social.

BACA  Apple tawar ganti skrin iPhone X secara percuma

Jika pengguna mahukan panggilan tanpa had, RED Pass menyediakan dua pelan bulanan. RM60 sebulan disertakan 8GB data manakala RM70 dengan 10GB data. Panggilan tanpa had bersama pilihan pakej RED Chat atau RED Social disertakan bersama pelan RED Pass.

Kepada pengguna Hotlink sedia ada, anda boleh bertukar ke pek Hotlink RED melalui aplikasi Hotlink RED atau mendail *100*6*1# dan memilih Change Rateplan. Tetapi anda tidak boleh balik semula ke pelan lama selepas bertukar ke Hotlink RED.

Nak kekal dengan 999GB Facebook + 2GB data hujung minggu di Hotlink Fast, atau berpindah ke Hotlink RED dengan data tanpa-had aplikasi terpilih? Tepuk dada tanya selera. Ia bergantung kepada penggunaan dan keperluan anda sendiri.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Hotlink RED di www.hotlink.com.my.