Huawei P10 Plus kini lebih murah RM900 dari harga pelancaran

Huawei P10 Plus dilancarkan hampir setahun yang lalu dengan tanda harga RM3,099. Selepas ketibaan Mate 10, harga rasminya diturunkan ke RM2,399. Tidak lama lagi generasi baru Huawei siri-P akan dilancarkan, maka harga Huawei P10 Plus diturunkan lagi.

Telefon pintar Huawei dengan lensa Leica di kamera belakang dan depan kini telah diturunkan RM900 dari harga pelancarannya, menjadi RM2,199 sahaja. Ia adalah telefon pintar berkuasa tinggi dengan kuasa pemproses Kirin 960 bersama 6GB RAM dan 128GB storan dalaman.

Perkara ini diumumkan terlebih dahulu oleh DirectD, dan harga ini telah pun dikemaskini di Stor Rasmi Huawei di Lazada. Selain itu, pembeli Huawei P10 Plus juga menerima hadiah percuma sempena musim perayaan kini.

Huawei P10 Plus yang dilancarkan setahun yang lepas memiliki skrin 16:9 berukuran 5.5-inci dengan resolusi QuadHD. Bateri di dalam Huawei P10 Plus berkapasiti 3,750mAh dan ia menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge melalui sambungan USB-C.

Dwi-kamera belakang bercap Leica merupakan gabungan sensor warna 12MP dan monokrom 20MP, masing-masing berapertur F/1.8. Kamera hadapan yang menerima cap Leica juga, memiliki sensor 8MP F/1.9.

Huawei Malaysia juga sedang menjalankan promosi diskaun RM400 untuk Huawei Mate 10 yang lebih baharu, kini berharga RM2,299 sahaja. Walaupun pemprosesnya lebih baharu, Kirin 970, tetapi Mate 10 memiliki hanya 4GB RAM dan 64GB storan dalaman.

Lain-lain perkara, Huawei P10 Plus dan Mate 10 boleh dikatakan tidak banyak berbeza. Adakah anda akan memilih P10 Plus dengan RAM & storan lebih besar, atau Mate 10 dengan pemproses lebih baharu?

BACA  Kamera iPhone XS, melawan iPhone X, Galaxy Note9 dan P20 Pro