Huawei P20 sah nama rasmi tetapi tiga kamera belakang?

Huawei adalah satu jenama yang popular dengan telefon Android tetapi tidak membuat pelancaran besar-besaran di pameran MWC 2018 di Barcelona, Sepanyol. Walaupun begitu, Huawei seperti tidak melepaskan peluang untuk berkongsi kemeriahan MWC dengan beberapa berita terbocor tentang telefon pintar terbarunya.

Huawei telah pun mengesahkan telefon pintar flagship terbaru mereka, P20 akan dilancarkan di Paris pada 23 Mac 2018. Menerusi video tersebut, ia memberi petunjuk tiga bulatan yang ramai menjangkakan berkaitan tiga lensa kamera di belakang.

Tetapi ia mungkin bukan tentang tiga lensa kamera.

Satu peranti telah muncul dalam pengkalan data China TENAA (seperti SIRIM di Malaysia) dengan nombor model EML-TL00, dikatakan adalah Huawei P20 yang akan dilancarkan. Ia memiliki dua lensa terbonjol dan menegak seperti iPhone X, dengan satu LED Flash di bawah membentuk rupa seperti tiga lensa menegak.

Jenama LEICA dan HUAWEI yang terdapat di belakang pula disusun secara mendatar, sekali lagi memberitahu pengguna cara untuk mengambil gambar dengan betul adalah memegang telefon pintar secara mendatar. Barulah orang lain boleh nampak perkataan LEICA dan HUAWEI dengan jelas.

Gambar dari TENAA ini memperlihatkan keseluruhan telefon pintar ini dari hadapan, belakang, kiri dan kanan telefon.

Tetapi dalam satu laporan dari laman web di China, iChangeZone memperlihatkan Huawei P20 dengan rupa hadapan seperti iPhone X. Ini kerana ia memiliki takuk di dahi skrin dan menempatkan dua kamera hadapan.

Malah, terdapat dua jenis telefon yang dikongsi, satu dengan pengimbas cap jari di bawah skrin dah satu lagi tanpa pengimbas capjari tetapi menempatkan jenama Huawei. Rupa sebegini memberi gambaran yang ia akan ditetapkan seperti Huawei Mate 10 dan Mate 10 Pro.

Dari sini, kami rumuskan Huawei akan melancarkan dua model Huawei P20 seperti model sebelum ini, model biasa Huawei P20 dan Huawei P20 Plus yang lebih besar dan berkuasa. Cuma, jika P20 mengikut jejak Mate 10, bermakna P20 dan P20 Plus akan memiliki rupa berbeza.

Dari gambaran iChangeZone di atas, Huawei P20 akan memiliki pengimbas capjari di hadapan dan butang kawalan bunyi yang dipisahkan. Manakala P20 Plus tiada pengimbas capjari di hadapan, berkemungkinan terdapat di belakang serta butang kawalan bunyi yang bercantum.

Walaupun gambar di TEENA memperlihatkan dua kamera di belakang, ini mungkin untuk Huawei P20. Dengan banyak maklumat terdedah berkenaan tiga kamera belakang, ia mungkin menjurus kepada Huawei P20 Plus.

Adakah Huawei akan menjadikan perbezaan Huawei P20 dan P20 Plus sebegitu besar? Capjari berlainan kedudukan dan lensa kamera berbeza bilangan?

[Sumber: GSMArena, TheAndroidSoul]