Malaysia perlu akta berita palsu kerana ia tidak wujud dalam undang-undang Malaysia

Parlimen Malaysia mula bersidang hari ini untuk membahaskan pelbagai akta dan undang-undang baru di Malaysia. Salah satu darinya adalah draf akhir akta baharu yang bertujuan menangani penularan berita palsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan akta baharu ini penting kerana istilah ‘berita palsu‘ tidak wujud dalam mana-mana undang-undang di Malaysia ketika ini. Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai intipati akta tersebut dengan alasan ia pramatang untuk berbuat demikian.

Tetapi bagi peguam Syahredzan Johan, Malaysia tidak perlu undang-undang baharu ini kerana beliau berpendapat, undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengambil tindakan ke atas ‘berita palsu‘ di Malaysia. Jelas beliau:

Bagi media cetak, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ada memperuntukkan kesalahan menyiarkan ‘berita tidak benar’.

Menurut Seksyen 8A akta tersebut, jika terdapatnya penerbitan yang dengan niat jahat menerbitkan apa-apa berita tidak benar, maka mereka yang terlibat dengan penerbitan tersebut boleh dikenakan tindakan dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi portal berita atas talian pula, Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia menjadikan ia satu kesalahan untuk memuat naik sesuatu bentuk komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Penularan ‘berita palsu’ melalui media sosial juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233(1)(a) tersebut, kerana ia bukan terhad kepada portal berita atas talian sahaja.

Syahredzan khuatir, undang-undang yang dicadangkan ini akan dijadikan alasan untuk mengambil tindakan ke atas suara-suara yang menentang kerajaan, dan bukannya untuk menangani berita palsu.

Tambahan lagi, terma ‘berita palsu’ atau fake news mula-mula digunakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Beliau mentakrifkan berita-berita yang tidak berpihak kepadanya sebagai ‘berita palsu’, dan ungkapan itu melekat dan kini sering digunakan.

Mesyuarat pertama bagi penggal keenam Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari. Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V merasmikan majlis pembukaanya hari ini dan Anggota Parlimen dijadual bermesyuarat sehingga 5 April depan.

Media sosial terlalu mudah menyebarkan berita, kerana itu orang ramai sendiri harus belajar menapis dan menyelidik berita yang diterima sebelum ia disebarkan. Sebelum ada undang-undang yang ingin dikuatkuasakan ini pun, telah ramai individu didakwa kerana menyebarkan berita palsu di media sosial.

Jadi beringat sebelum menekan share, retweet, forward atau apa jua cara mudah menghantar berita tersebut. Semak dahulu sebelum sebar. Jika tidak pasti, jangan sebarkan.

[Sumber: BERNAMA, Sinar Harian]