Walaupun Susunan Macam iPhone X, Kamera Huawei P20 Ada Lebih Dari Itu

2018 adalah tahun ketiga Huawei bekerjasama dengan Leica untuk membangunkan lensa yang digunakan pada siri P dan pastinya peminat ternanti-nanti apakah pembaharuan yang akan dibawakan menerusi kerjasama antara mereka pada Huawei P untuk tahun ini.

Kebocoran imej beresolusi tinggi daripada @evleaks bukan sahaja memberikan kita maklumat tentang rupa paras telefon itu, bahkan terdapat juga maklumat tentang kameranya. Jika anda tak perasan, nah saya zumkan bagi pihak anda.

Huawei P20 Pro, Huawei P20, Huawei P20 Lite (dari atas)

Secara ringkasnya, saya boleh katakan yang kamera pada Huawei P20 kelak, kalau tak lebih hebat daripada Galaxy S9+, sekurang-kurangnya setanding. Mari saya terangkan kenapa.

Jom kita beri perhatian pada abjad-abjad dan angka yang tercetak disebelah kamera masing-masing.

  1. VARIO-SUMMILUX-H 1:1.6-2.4/27-80 ASPH.
  2. SUMMILUX-H 1:1.6/27 ASPH.
  3. 1:2.2/26 ASPH

Leica mempunyai tradisi memberi nickname pada produk lensa mereka. Dalam tatanama lensa Leica, nickname pada produk optik biasanya merujuk pada bukaan apertur terbesar pada lensa. Misalnya:

  • Noctilux untuk apertur ekstrim antara F0.95 hingga F1.2
  • Summilux untuk F1.4
  • Summicron untuk F2
  • Summarit untuk F2.5
  • Elmarit untuk F2.8
  • Elmar/Super-Elmar untuk F3.5-F4
  • Hektor untuk F4.5

Contoh lensa hasilan Leica (sumber)

Tapi untuk kes Huawei pula, saya perasan yang Leica ada memberi nama baru untuk kanta yang digunakan pada siri P iaitu Summilux-H. Abjad “H” selepas sengkang mungkin merujuk pada Huawei. Maka, pengguna boleh membezakan antara Summilux biasa dengan Summilux-H kerana pada versi “H”, aperturnya lebih kecil iaitu F1.6 berbanding F1.4 pada yang biasa.

Kenapa pada P20 Lite tiada perkataan Summilux-H kelihatan? Tidaklah saya ketahui secara khusus. Ia mungkin mengurangkan kos penghasilan telefon itu daripada segi pembayaran royalti untuk penggunaan tanda dagang Leica.

BACA  Astro-Maxis IPTV pun turun harga internet

Selepas nickname lensa, kita terus kepada sebaris angka pelik yang mengikutinya. Ada dua maklumat yang anda boleh pelajari daripada angka-angka ini dan mereka dipisahkan dengan tanda garis miring (/).

Sebelum garis miring, anda boleh mengetahui nisbah F ataupun bukaan apertur pada lensa kamera telefon. Selepas garis miring, tercatatnya maklumat jarak fokal. Maka, ini adalah cara anda membaca bahagian tersebut:

  1. P20 ada lensa berapertur F1.6 dengan jarak fokal 27mm
  2. P20 Lite ada lensa berapertur F2.2 dengan jarak fokal 27mm
  3. P20 Pro ada lensa berapertur antara F1.6 hingga F2.4 dengan jarak fokal antara 27mm hingga 80mm

Apertur yang luas benar lebih banyak cahaya sampai ke sensor dan diguna semasa keadaan malap (sumber)

Yang terakhir adalah perkatan ASPH. Ia adalah kependekkan kepada aspherical yang merujuk pada rupa fizikal lensa yang digunakan. Aspherical adalah antonim kepada spherical. Jika kanta tradisional memiliki bentuk spherical, kanta aspherical adalah kanta tak tradisional.

Kanta aspherical memiliki bentuk unik untuk memberikan pola biasan cahaya bergantung pada keperluan tertentu. Dalam kes Huawei P20, kanta tak tradisional mungkin digunakan dek ruang yang terhad pada badan telefon serta mengurangkan barrel distortion pada hasil gambar.

Beza antara kanta aspherical dengan spherical

Sebelum terlupa, perkataan “Vario” pada VARIO-SUMMILUX-H hanyalah untuk menunjukkan ia memiliki keupayaan untuk mengezum ataupun apertur tak malar dalam kes Summilux-H.

Kesimpulan

Daripada maklumat yang dikongsikan, bolehlah kita pelajari sedikit sebanyak tentang keupayaan kamera-kamera pada flagship terbaru Huawei kelak. Kesimpulannya adalah:

  1. Huawei P20 Pro ada kamera dengan apertur tak malar antara F1.6 hingga 2.4 dengan jarak fokal 27mm hingga 80mm setara dengan kamera full frame.
  2. Huawei P20 ada kamera dengan apertur F1.6 dengan jarak fokal 27mm setara dengan kamera full frame.
  3. Huawei P20 Lite ada kamera dengan apertur F2.2 dengan jarak fokal 26mm setara dengan kamera full frame.