Kebanyakan rakyat Malaysia meletakkan bajet RM1,000 untuk pembelian telefon pintar. Sebab itu, siri Redmi Note sering menjadi perhatian ramai kerana memberikan prestasi paling berbaloi pada harga sekitar RM1,000.
Nampaknya, tidak lama lagi generasi kelima Redmi Note akan tiba di Malaysia. Ini berikutan penyenarainnya di laman web SIRIM. Tetapi ada satu masalah.
Redmi Note 5 pertama kali dilancarkan di India sebulan yang lepas, tetapi ia dikenali sebagai Redmi Note 5 Pro, dilengkapi dwi-kamera belakang. Ini kerana Redmi 5 Plus yang sama di Malaysia, dipanggil sebagai Redmi Note 5 di India. Keliru?
Tidak lama selepas itu, Redmi Note 5 dilancarkan di China dengan spesifikasi hampir sama dengan Redmi Note 5 Pro di India, tetapi spesifikasi kameranya diubahsuai. Redmi Note 5 China menggunakan dwi-kamera belakang 12MP F1.9 + 5MP, serta kamera 13MP F2.2 di hadapan. Manakala Redmi Note 5 Pro India pula dipasang kamera belakang 12MP F2.2 + 5MP, bersama kamera hadapan 20MP F2.2.
Lain-lain perkara nampaknya sama seperti skrin nirbingkai 18:9 FHD+ berukuran 5.99-inci, pemproses Snapdragon 636 serta RAM sehingga 6GB dan storan sehingga 64GB. Bateri di dalam pula 4,000mAh. Cuma terdapat satu lagi perbezaan, Redmi Note 5 China menjalankan sistem operasi Android 8.0 Oreo berbanding Nougat dalam model India.
Tambah menguatkan lagi khabar ketibaannya di Malaysia, adalah pengumuman penjualan Redmi Note 5 di Indonesia pada 18 April 2018. Dari gambaran yang dikongsi Mi Indonesia, ia adalah model baru dengan dwi-kamera belakang. Tetapi ia dipanggil sebagai Redmi Note 5 sahaja. Tentang nama, ia mungkin sama di Indonesia dan Malaysia.
Cuma, versi kamera yang manakah akan dilancarkan di Indonesia dan mungkin tiba tidak lama lagi di Malaysia? Versi kamera India kah atau versi China kah?
Di samping Redmi Note 5, satu lagi perkara yang dapat dilihat di SIRIM adalah pengecas wayarles Xiaomi yang dilancarkan bersama Mi MIX 2S. Agak pelik kerana Mi MIX 2S tidak pula kelihatan di SIRIM, kerana pengecas wayarles ini dilancarkan utuk kegunaan Mi MIX 2S. Telefon pintar Xiaomi yang lain masih tidak memiliki keupayaan pengecasan wayarles.
Redmi Note 5 yang akan datang 18 April nanti juga sudah dilengkapi flagship dual kamera yang ciamik! Menurut kamu, berapa resolusi dual kamera yang ada di #RedmiNote5?
Posted by Mi Indonesia on Wednesday, 4 April 2018
Adakah sempat Mi Malaysia menjual Redmi Note 5 ini sebelum pilihanraya umum ke-14? Harapnya begitulah, memandangkan ia akan dijual di Indonesia pada 18 April nanti. Jadi kami rasa, ia akan tiba di Malaysia paling lewat 2 minggu selepas itu.
Memandangkan Redmi 5 Plus 4GB/64GB telah pun dijual di Malaysia dengan harga RM899, mungkinkah Redmi Note 5 dengan RAM dan storan yang sama dijual di bawah RM1,000? Harapnya begitulah.