Ramai yang tahu Xiaomi memperkenalkan program Android One pertamanya, Mi A1 berasaskan model Mi 5X yang dilancarkan di China tahun lepas. Tahun ini, orang ramai menantikan Mi A2 yang dikatakan dibina berasaskan Mi 6X yang juga baru sahaja dilancarkan di China.
Tetapi Mi A2 mungkin bukan satu-satunya peranti Android One yang akan Xiaomi perkenal tahun ini. Ia berdasarkan satu penemuan yang dilaporkan oleh XDA Developer.
Seorang ahli XDA Developer yang menggunakan nama @FunkyHuawei berkongsi di laman tersebut tentang sebuah firmware yang ditemuinya. Di dalam firmware tersebut terdapat beberapa ciri-ciri tentang dua telefon pintar.
Semasa di peringkat kajian, nama ‘sprout‘ digunakan untuk merujuk kepada peranti Android One di mana Mi A1 telah dikenali sebagai ‘tissot_sprout‘. Di dalam firmware ini, telah ditemui nama ‘jasmine_sprout‘ yang memiliki banyak persamaan dengan Mi 6X.
Di dalam sistem Jasmine ini dinyatakan ia menggunakan cip Snapdragon 660, serta kamera hadapan IMX376, kedua-dua ini sama seperti yang terdapat pada Mi 6X. Malahan, ia juga memiliki kod nama WAYNE, yang merupakan kod nama bagi Mi 6X. Hampir tidak syak lagi, firmware ini merujuk kepada Mi A2 berasaskan Mi 6X.
Kemudian kita pergi pula kepada peranti kedua yang disebut di dalam firmware ini. Perkara ini boleh dilihat selari dengan apa yang dikatakan CEO Xiaomi, Lei Jun berkenaan dua peranti Android One akan diperkenalkan termasuk dari siri Redmi.
“Yes, we plan to have more Android One devices. Some of our users in India seem to like stock Android, and we are willing to bring in more devices with Android One including the Redmi series.”
Peranti kedua yang ditemui di dalam firmware ini membawa kod nama ‘daisy_sprout‘. Ia dinyatakan akan menggunakan cip msm8953 atau lebih popular dengan nama Snapdragon 625. Dikhabarkan ini merujuk kepada peranti baru Xiaomi akan datang, Redmi S2.
Redmi S2 dilaporkan telah pun didaftarkan di TENAA (seperti SIRIM di China). Spesifikasinya sangat serupa dengan Redmi 5 Plus yang telah dilancar di Malaysia, seperti cip Snapdragon 625, skrin 18:9 5.99-inci, serta bateri 3,000mAh.
Dalam satu laporan dari laman web Czech pula, gambar dan video Redmi S2 telah terbocor. Ia memiliki rekaan yang menyerupai Redmi Note 5, terutama di bahagian belakang dengan dua kamera menegak dan pengimbas capjari di tengah. Pendek kata, Redmi S2 adalah dalaman Redmi Note 5 dengan rupa luaran Redmi 5 Plus.
Mungkin Redmi S2 adalah jelmaan peranti baru Android One Xiaomi yang lebih murah? Adakah anda masih lebih gemarkan antaramuka MIUI untuk peranti kelas permulaan atau lebih berminat dengan antaramuka tulen Android One?
Kita tunggu pelancaran peranti Android One baru dari Xiaomi tidak lama lagi. Ada satu ke atau dua.
[Sumber: GizmoChina, XDA Developer]